POLITIK

PRN Sabah: Kestabilan boleh wujud selepas pilihan raya, perlu kerjasama dengan kerajaan persekutuan - Penganalisis

Irfan Faruqi 13/11/2025 | 14:40 MYT
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun menunjukkan peta Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada sidang media pengumuman tarikh penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. - Bernama
KUALA LUMPUR: Kestabilan politik boleh diwujudkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, apabila bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi setiap parti politik telah dimuktamadkan.


Ringkasan AI
  • Kestabilan politik selepas PRN Sabah ke-17 ditegaskan dengan penentuan bilangan kerusi DUN bagi setiap parti politik.
  • Kepelbagaian gabungan politik perlu dihargai, memerlukan kerjasama untuk membentuk Kerajaan Perpaduan Putrajaya di Sabah selepas pilihan raya.
  • Pentingnya membentuk kerajaan negeri yang menjaga hubungan baik dengan kerajaan persekutuan untuk kebaikan rakyat Sabah, menurut Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung dari UMS.


Pensyarah Kanan, Fakulti Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah, Rahezzal Shah Abdul Karim berkata, kepelbagaian gabungan politik ketika ini perlu diraikan dan diserahkan kepada pengundi untuk memilih calon yang paling digemari.

“Apabila pilihan raya berakhir, kita tahu kebarangkalian untuk satu parti untuk tubuh kerajaan adalah sukar. Sebaliknya memerlukan dua hingga lima parti untuk wujudkan kerajaan gabungan.

“Oleh itu, mengapa tidak boleh selepas pilihan raya, sama-sama bekerjasama wujudkan Kerajaan Perpaduan Putrajaya di Sabah, kemudian selesaikan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan isu 40 peratus hak Sabah.

“Dalam kekalutan ini boleh wujud kestabilan selepas pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.


Dialog Tiga Penjuru: Menjelang PRN | Bah, apa cerita urang Sabah


Dalam pada itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Komunikasi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung menambah, perkara yang penting ialah membentuk kerajaan negeri yang boleh menjaga hubungan baik dengan kerajaan persekutuan untuk manfaat rakyat Sabah.

“Bagi saya tidak ada makna menjadi hero Sabah tetapi akhirnya tidak ada hubungan yang baik dengan kerajaan persekutuan. Malaysia ada Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama (dalam Perlembagaan Persekutuan).

“Ada beberapa perkara yang berada di bawah tanggungjawab kerajaan persekutuan seperti kesihatan, pendidikan dan keselamatan,” ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Sabah akan berlangsung pada Sabtu (15 November). Manakala hari pengundian pada 29 November manakala undi awal pada 25 November.




#Kerajaan Perpaduan #Perjanjian Malaysia 1963 #Suruhanjaya Pilihan Raya #pilihan raya #Sabah #pilihan raya negeri #PRN