[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
POLITIK

PRN Sabah: KJ turun padang bantu kempen sahabat lama

Sinar Harian 26/11/2025 | 00:40 MYT
Perkongsian Khairy mengenai jadualnya sewaktu kempen di Sabah. - Facebook Khairy Jamaluddin
SHAH ALAM: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turun ke Sabah bagi membantu menggerakkan kempen calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah bermula Rabu.

Khairy berkata, kehadirannya adalah untuk membantu rakan-rakan lama yang pernah bersama beliau dalam Pemuda UMNO suatu ketika dahulu.

"Turun bantu sahabat-sahabat lama zaman Pemuda UMNO dulu. Orang Sabah, siap sedia bah, jumpa anda di Sabah!," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut berkongsi jadual turun padangnya sepanjang berada di Sabah.

Pada Rabu, Khairy dijadualkan membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin, Datuk Yamani Hafez Musa di Kampung Guruh-Guruh, Bandar Sipitang pada jam 1 petang.

Seterusnya, beliau akan bersama calon PH DUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar pada jam 5 petang di Padang Pekan Tenom sebelum menghadiri program bersama calon Barisan Nasional (BN) DUN Bongawan, Datuk Mohamad Alamin pada jam 9 malam di Kampung Baru Perpaduan, Kimanis.


Pada Khamis pula, Khairy akan menyertai kempen calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) DUN Tempasuk, Datuk Arsad Bistari di perkarangan Dewan Arsad, Kota Belud pada jam 9.30 pagi.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa kedatangan Khairy ke Sabah adalah atas jemputan rakan seperjuangan yang pernah bersama beliau dalam Pemuda UMNO dan BN. - Sinar Harian




#PRN Sabah #Khairy Jamaluddin #UMNO #calon BN PRN Sabah