Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
POLITIK

PRN Sabah: Lima ADUN STAR letak jawatan, keahlian terbatal automatik - Jeffrey

Hasimi Muhamad 10/10/2025 | 23:50 MYT
Keima-lima ahli STAR terbabit kekal menyokong GRS, dan kepimpinan Hajiji walaupun telah diberikan tempoh selama seminggu oleh STAR - Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menyerahkan surat peletakan jawatan masing-masing.

Mengesahkan perkara itu, Presiden STAR, Datuk Seri Jeffrey Kitingan berkata, keahlian mereka gugur secara automatik, termasuk jawatan yang disandang dalam parti.

Mereka ialah penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook, Datuk Ellron Angin; Datuk Annuar Ayub Aman (Liawan), Datuk Robert Tawik (Bingkor), Datuk Flovia Ng (Tulid) dan Datuk Abidin Madingkir (Paginatan).

"Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) telah bersidang dan menerima peletakan jawatan mereka.

"Justeru, secara automatik, keahlian mereka dalam parti terhenti, begitu juga jawatan yang mereka pegang turut terlucut dan kini dipangku oleh timbalan-timbalan seperti yang diumumkan dalam mesyuarat,” katanya pada Jumaat, memetik laporan beberapa media tempatan.

Jeffrey menambah, mesyuarat AMT parti itu semalam turut mencapai beberapa keputusan penting, termasuk berkaitan manifesto, penyusunan jentera dan pelancaran pelbagai program menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Jeffrey yang juga penyandang kerusi DUN Tambunan berkata, STAR bakal melancarkan program ‘Keadilan Untuk Sabah’ dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada usaha memperjuangkan hak dan kepentingan negeri.

Mengulas mengenai persiapan menghadapi PRN17, Jeffrey berkata STAR dijangka bertanding antara 35 hingga 40 kerusi pada pilihan raya akan datang, namun perkara itu masih belum dimuktamadkan.

STAR dan SAPP secara automatik tidak lagi bersama GRS, selepas kedua-dua parti itu menyatakan pendirian untuk bertanding atas logo sendiri pada PRN17.

Sementara itu, kelima-lima ahli STAR terbabit kekal menyatakan sokongan kepada GRS, dan kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor walaupun telah diberikan tempoh selama seminggu oleh STAR.




#Lima ADUN Star #Jefrrey Kitingan #PRN Sabah #Politik Sabah