23 Delegasi Malaysia Bebas dari Israel, Kini di Istanbul untuk Pemeriksaan & Sokongan – Ikuti Perkembangan Terkini di sini
POLITIK

PRN Sabah: Medan uji kekuatan GRS urus parti dan rakyat

Assim Hassan 05/10/2025 | 11:48 MYT
GRS yang dikemudi Datuk Seri Hajiji Noor (gambar) yang juga Ketua Menteri Sabah tidak memandang enteng peranan Kerajaan Persekutuan. - Foto Bernama
MENJELANG Pilihan Raya Negeri Sabah ke‑17 (PRN‑17), landskap politik negeri semakin panas dan penuh teka-teki.

Bagi Gabungan Rakyat Sabah, mempertahankan kerajaan negeri bukan sekadar soal memenangi kerusi majoriti, tetapi juga mempertahankan kredibiliti gabungan yang selama ini dianggap sebagai harapan “politik lokal”.

Dalam masa sama, GRS yang dikemudi Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Ketua Menteri Sabah tidak memandang enteng peranan Kerajaan Persekutuan.

Acap kali dinyatakan, kerjasama antara kedua-dua kerajaan iaitu Pusat dan negeri penting - yang mana akhirnya memudahkan pembangunan untuk Sabah dan rakyatnya.


Jatuh Cinta' dengan PH

Sorotan politik Sabah seperti ombak kecil membadai... nampak tenang tapi bergelora. Sejak menerajui tampuk pemerintahan kerajaan Sabah, GRS berdepan banyak onak duri dalam kalangan parti politik yang bersamanya.

Lihat sahaja Langkah Kinabalu pada tahun 2023 - Gerakan yang diterajui Barisan Nasional (BN) Sabah untuk menafikan kerajaan dipimpin Hajiji.

Nasib baik ADUN dan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) serta segelintir pemimpin BN menyokong kepimpinan Hajiji - dan paling penting mahu ADUN Sulaman itu terus menyandang kerusi panas Ketua Menteri.

Hajiji (lima dari kiri) bergambar bersama ADUN Pakatan Harapan di Sri Gaya pada Januari 2023. - Foto Bernama


Atas semangat setiakawan dan pertolongan itu, Hajiji mahupun GRS 'terhutang budi' kepada PH, hingga 'cinta' berputik namun jika dikaji 'bait-bait cinta' mereka tidak wajar terpisah dalam kerjasama pada PRN17 nanti.

Kerjasama antara GRS-PH itu berkumandang pada Perhimpunan Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Julai lalu hingga semua perwakilan dan saya rasa para wartawan juga celik untuk mengangkat pengumuman kerjasama itu sebagai 'story of the day'.

Tidak habis di situ, 'cinta' dan 'chemistry' antara GRS dan PH mentadbir kerajaan Sabah tidak dapat disangkal. Setiap wakil rakyat GRS dan PH sama-sama Bersatu memajukan negeri tercinta.

Namun, untuk kekal Bersama pada PRN17 yang akan datang ini pasti ada sedikit cabaran. Bukan sahaja dari segi agihan kerusi DUN menjelang PRN tetapi juga hasrat pemimpin di peringkat Persekutuan yang mahu PH bersama-sama dengan BN.

Bukan mudah, cinta tiga segi tapi itulah hakikatnya.


Cabaran terbaharu: STAR dan SAPP ‘mundur’ daripada GRS

Dalam perkembangan mengejutkan baru-baru ini, parti STAR dan SAPP pula memutuskan untuk bertanding menggunakan logo sendiri dan keluar daripada GRS.

Semua ini dikatakan berkait dengan agihan kerusi yang 'banyak' diberikan kepada PH iaitu 23 kerusi hingga Presiden STAR, Datuk Seri Jeffrey Kitingan melihat ini berlainan dengan apa yang dipersetujui sebelum ini.

Yong Teck Lee (kiri) dan Jeffrey Kitingan


Dan orang nombor satu GRS yang juga Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor pada Sabtu 4 Oktober memaklumkan, gabungan itu terus kukuh walaupun tindakan STAR Sabah dan SAPP menggunakan logo sendiri.

Hajiji menegaskan ia sedikit pun tidak menjejaskan kesatuan GRS kerana sokongan rakyat dilihat konsisten dan yakin mampu kekal dominan dalam politik Sabah.


GRS dan Peluang Lima Tahun

Walaupun ujian ini besar tetapi GRS dilihat memiliki beberapa kelebihan yang boleh dijadikan batu loncatan untuk terus kekal mentadbir Sabah.

Omongan di kedai kopi, kafe hipster hinggalah ke kedai sup ikan, ramai melihat aspirasi Sabah yang dibawa GRS seperti Sabah Maju Jaya, kuasa autonomi dan kepentingan Sabah diutamakan dilihat menonjol daripada retorik parti nasional.

Kini tugas mencabar dan besar terus digalas Datuk Seri Hajiji dalam usaha mengukuhkan semangat komponen gabungan dengan nilai dan pendirian bersama.

Kedua, komunikasi dalam GRS itu perlu jelas bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan rakyat termasuk juga isu agihan kerusi yang adil dan diterima semua pihak supaya tidak timbul isu 'cah keting' di menjelang penamaan calon serta Hari Pengundian.

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman (kanan) mengadakan pertemuan khas dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor di Istana Seri Kinabalu pada Khamis


Justeru bagi GRS, mempertahan kuasa bukanlah hal mustahil — tetapi memerlukan strategi matang, kesatuan jitu dan kemampuan meraih hati akar umbi.

PRN ini lebih daripada pertarungan kerusi — ia adalah ujian sebenar kepada model “politik tempatan Sabah” apakah ia mampu bertahan atau retak di bawah tekanan kepelbagaian kepentingan.

Jika GRS mampu berjaya melalui ujian ini dan mengukuhkan legitimasi dalam mata rakyat Sabah, ia bukan sekadar kemenangan kuasa, namun kemenangan naratif bahawa Sabah boleh mengurus dirinya sendiri.

Kita tunggu dan lihat ...






#PRN Sabah #DUN Sabah bubar #kerjasama politik #STAR Sabah tinggalkan GRS #Gabungan Rakyat Sabah #GRS