POLITIK

PRN Sabah: PBS tolak kerjasama dengan BN

Bernama 26/06/2025 | 10:30 MYT
Parti Bersatu Sabah (PBS) menolak kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang. - Gambar fail/Facebook Dr Joachim Gunsalam
KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menolak kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.
Pemangku Presiden PBS Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata pendirian itu dibuat selepas majoriti Ahli Majlis Tertinggi (AMT) parti itu tidak bersetuju untuk bekerjasama dengan BN dalam pilihan raya negeri berkenaan.
Joachim berkata PBS turut menegaskan pendirian untuk terus setia bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai gabungan pemerintah sedia ada pada PRN itu.
"Pendirian kita jelas. PBS akan terus bekerjasama dalam gabungan GRS dan komited terhadap kerjasama politik ini menjelang PRN itu.
"PBS turut mengulangi komitmen untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama dengan komponen GRS iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah) yang dipimpin Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Penggal lima tahun Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan berakhir pada 11 Nov ini.
-- BERNAMA
#PBS #tolak kerjasama #BN #PRN Sabah