POLITIK

PRN Sabah: Peletakan jawatan Ewon tindakan terdesak kawal kerosakan - Warisan

Hasimi Muhamad 10/11/2025 | 10:15 MYT
Tek Ming (gambar) menegaskan bahawa tindakan Ewon itu memperlihatkan sifat oportunis politik, bukannya berasaskan prinsip. - Foto Warisan
KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) mendakwa peletakan jawatan Datuk Ewon Benedick daripada Kabinet Persekutuan sebagai satu tindakan politik terdesak, bagi menyelamatkan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) daripada 'kehancuran' menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang,


Ringkasan AI
  • Parti Warisan mendakwa peletakan jawatan Datuk Ewon Benedick sebagai tindakan politik terdesak untuk menyelamatkan UPKO daripada 'kehancuran' menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang.
  • Penasihat Undang-Undang Warisan, Chin Tek Ming, menegaskan bahawa peletakan jawatan Ewon adalah tindakan panik dan terdesak, bukannya keberanian atau berprinsip, memandangkan beliau dan rakan-rakan menarik balik saman 40 peratus hasil negeri tanpa perjuangan sebelum ini.
  • Chin Tek Ming mengecam tindakan Ewon sebagai oportunis politik dan menganggap kenyataan peletakan jawatan beliau sebagai kosong serta tidak ikhlas kerana tidak memohon maaf kepada rakyat Sabah, terutamanya pengundi di Penampang, atas tindakan menarik balik saman.


Penasihat Undang-Undang Warisan, Chin Tek Ming, berkata pengumuman mengejut Presiden UPKO itu
selepas berbulan-bulan berdiam diri, tidak lebih daripada usaha kawalan kerosakan oleh seorang ahli politik yang sebelum ini telah mengkhianati hak Perlembagaan Sabah.


Katanya, Ewon bersama 11 lagi pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sabah menarik balik saman terhadap Kerajaan Persekutuan pada September 2023 berhubung tuntutan hak 40 peratus hasil negeri.

"Kita perlu jelas, peletakan jawatan ini bukanlah tindakan keberanian atau berprinsip, tetapi satu tindakan panik dan terdesak.

"Apabila Ewon dan rakan-rakannya menarik balik saman 40 peratus itu, mereka telah menyerahkan hak Sabah tanpa sebarang perjuangan. Kini, apabila pilihan raya semakin hampir dan sokongan terhadap UPKO semakin merosot, beliau cuba 'menulis' semula sejarah untuk kelihatan seperti wira," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ewon, yang juga penyandang kerusi Kadamaian, antara 12 wakil rakyat PH Sabah yang menarik balik saman terhadap Kerajaan Persekutuan berkaitan hak Sabah memperoleh 40 peratus hasil seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, pada September 2023.

11 wakil rakyat lain yang terlibat ialah bekas ADUN Luyang, Datuk Phoong Jin Zhe; Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin; Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong; bekas ADUN Likas, Tan Lee Fatt; bekas ADUN Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon; bekas ADUN Kepayan, Jannie Lasimbang; bekas ADUN Api Api, Datuk Christina Liew; Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau; bekas ADUN Inanam, Datuk Peto Galim; bekas Ahli Parlimen Putatan, Awang Hussaini Sahari; dan bekas Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual.

Tek Ming menegaskan bahawa tindakan Ewon itu memperlihatkan sifat oportunis politik, bukannya berasaskan prinsip.

Beliau turut mendakwa kenyataan peletakan jawatan Ewon sebagai kosong dan tidak ikhlas, memandangkan Ahli Parlimen Penampang itu tidak langsung memohon maaf kepada rakyat Sabah, khususnya pengundi di Penampang, atas tindakan menarik balik saman.

"Kalau benar beliau berprinsip dan berani, beliau sepatutnya meletak jawatan sejak tahun 2023 ketika rakan-rakannya memilih untuk meninggalkan perjuangan Sabah, dan bukan sekarang, setelah rakyat melihat kepura-puraannya," tambah Tek Ming.

Hari ini, Ewon mengesahkan telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Dalam satu hantaran di Facebook rasminya, beliau turut memaklumkan akan menghabiskan baki cuti yang masih ada bermula hari ini.

Sabtu lalu, Ewon mengumumkan keputusan untuk berundur daripada Kabinet susulan ketidaksefahaman dengan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) yang memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak 40 peratus hasil Persekutuan daripada Sabah.
#Ewon Benedick letak jawatan #PRN Sabah #Warisan Ewon letak jawatan #40 peratus hasil Sabah