POLITIK
PRN Sabah: Pembubaran DUN buka ruang rakyat beri mandat kepada kerajaan baharu

Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata UMNO dan BN Sabah yakin rakyat Sabah akan membuat keputusan bijak dalam memilih parti serta calon yang berupaya membawa arus perubahan positif kepada rakyat dan negeri. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA KINABALU: Pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 membuka peluang kepada rakyat negeri itu untuk memilih serta memberi mandat kepada kerajaan baharu.
Ringkasan AI
- DUN Sabah dibubarkan hari ini bagi memberi laluan kepada PRN Sabah Ke-17 selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman.
- Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengetuai kerajaan sementara sementara UMNO, BN dan PN menyatakan keyakinan rakyat akan memilih kerajaan baharu yang mampu membawa perubahan positif.
- Pemimpin termasuk Bung Moktar, Ronald Kiandee dan Aliakbar Gulasan menyeru kempen dijalankan secara beradab, matang dan berfokus kepada kestabilan serta kemajuan Sabah.
"Kita percaya rakyat Sabah berhak menikmati kehidupan yang lebih baik, peluang saksama, kemajuan dan kestabilan politik yang kukuh. Inilah masa untuk kita betulkan semula haluan negeri Sabah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bung Moktar berkata pengalaman luas UMNO dan BN menjadi sandaran penting untuk memulihkan semula Sabah ke landasan kemajuan, kestabilan dan kesejahteraan rakyat.
Terdahulu Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN Sabah ke-16 yang berkuat kuasa hari ini selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Menara Kinabalu.
Dengan pembubaran itu, Sabah kini ditadbir oleh kerajaan sementara dengan Hajiji kekal menjalankan tugas sebagai Ketua Menteri sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas PRN nanti.
Sementara itu, Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe menzahirkan penghargaan kepada pengundi di DUN Luyang atas kepercayaan diberikan kepadanya untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat dan menteri negeri.
Katanya peluang itu merupakan satu penghormatan besar dan pengalaman berharga sepanjang karier politiknya.
Pesuruhjaya Pas Sabah Datuk Dr Aliakbar Gulasan pula dalam catatan ringkas di Facebook menegaskan bahawa pembubaran DUN adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang wajar diraikan dengan penuh adab.
Beliau menyeru semua pihak mengamalkan akhlak mulia serta menjauhi permusuhan dan maki hamun sepanjang tempoh berkempen.
Sementara itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Datuk Seri Ronald Kiandee dalam kenyataan berkata parti itu yakin rakyat Sabah kini cukup matang dan bersedia melakukan perubahan demi masa depan yang lebih baik dengan memilih kerajaan negeri baharu.
"Pembubaran DUN Sabah hari ini telah lama dinanti-nantikan oleh rakyat kerana ia akan membuka ruang kepada rakyat untuk menentukan semula hala tuju negeri yang baharu," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami