Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang dilancarkan oleh kerajaan pada hujung Mac lalu telah memberi manfaat kepada lebih 904,000 individu di Sabah, setakat ini.

Selain itu, beberapa Pakej PRIHATIN termasuk pelaksanaan moratorium dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) turut membawa manfaat besar kepada penerima.

Tinjauan Astro AWANI di daerah Tamparuli, di sini baru-baru ini mendapati rata-rata penerima bantuan itu menghela nafas lega kerana inisiatif berkenaan meringankan beban mereka.

Pekerja swasta, Yen Yen Kumin, 36, berharap bantuan tersebut diteruskan khususnya bagi membantu golongan ibu tunggal dalam menghadapi kesempitan hidup.

Katanya, kebanyakan wanita di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli terlibat dalam sektor pertanian dan perniagaan dalam talian sebagai sumber pendapatan mereka.

“Bagi saya sebagai wanita di Tamparuli, saya mengharapkan pihak kerajaan lebih menitik-beratkan bantuan kepada ibu tunggal dan juga usahawan-usahawan wanita supaya mereka dapat memajukan diri.

“Ramai wanita yang membantu keluarga termasuk berniaga secara kecil-kecilan. Selain itu, saya nampak perniagaan secara dalam talian sekarang berpotensi sebab pergerakan yang terhad,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Bagi Alif Hamzah Abdullah, 28, dia menyifatkan bantuan kepada majikan telah menyelamatkannya daripada kehilangan pekerjaan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Alif Hamzah (tengah) berkata peluang pekerjaan perlu diperbanyakan di negeri Sabah

Namun tegasnya, peluang pekerjaan di negeri itu perlu diperbanyakkan agar golongan muda tidak hanya bergantung kepada bantuan kerajaan apabila krisis melanda.

“Kalau boleh banyakkan peluang pekerjaan untuk golongan muda yang ada di sini (daerah Tamparuli). (Selain itu), bantuan-bantuan khusus untuk peniaga kecil-kecilan dan sebagainya.

“(Golongan muda) di kawasan sini susah mendapatkan pekerjaan. Mereka beritahu terpaksa merantau ke tempat lain. Mereka mahu balik ke sini (Sabah) tetapi tiada pekerjaan tetap,” ujarnya.

Selain bantuan, Michael Lo Vun Leong, 45, pula berharap isu asas seperti jaringan jalan raya diselesaikan kerana ia masih menjadi topik hangat dalam kalangan penduduk.

“Jalan raya di sini banyak berlubang. Susah apabila kereta masuk lubang... rosak (kereta)... jalan raya di sini berbeza dengan Semenanjung,” ujarnya.

PENJANA dan PRIHATIN bernilai RM295 bilion antara lain bertujuan membantu rakyat dan memacu ekonomi negara selepas mengalami penguncupan kesan pandemik COVID-19.