[TERKINI] PRN Sabah: PN terbuka bekerjasama dengan parti lokal sehaluan - Muhyiddin
![[TERKINI] PRN Sabah: PN terbuka bekerjasama dengan parti lokal sehaluan - Muhyiddin [TERKINI] PRN Sabah: PN terbuka bekerjasama dengan parti lokal sehaluan - Muhyiddin](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/71762856746_MuhyiddinYassin.jpg)
Muhyiddin bercakap pada sidang media selepas majlis pengumuman calon PN sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 di Pusat Teknologi dan Komersial Penampang (ITCC), hari ini. - Foto Bernama
PENAMPANG: Perikatan Nasional (PN) bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik tempatan di Sabah, yang mempunyai matlamat dan ideologi sehaluan, khususnya dalam usaha membentuk kerajaan negeri yang stabil selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), akan datang.
Ringkasan AI
- Perikatan Nasional (PN) bersedia untuk berkerjasama dengan parti politik tempatan di Sabah yang sehaluan ideologi untuk membentuk kerajaan negeri yang stabil selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
- Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan pendekatan terbuka ini sebagai strategi utama PN bagi memastikan pembentukan kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan teratur dan berkesan, dengan syarat semua pihak bersedia bekerjasama.
- Muhyiddin menyatakan PN akan terus bekerjasama dengan mana-mana parti yang berkongsi nilai dan perjuangan yang sama, sebelum atau selepas pilihan raya negeri akan datang, memandangkan tiada satu parti mampu membentuk kerajaan secara bersendirian.
"Perkara utama ialah semua pihak mestilah bersedia untuk membentuk sebuah kerajaan yang memikul tanggungjawab secara bersama. Jika itu dapat dilakukan, maka proses pembentukan kerajaan akan menjadi lebih mudah dan boleh dilaksanakan dengan segera," katanya dalam sidang media selepas Pengumuman Calon PN bagi PRN Sabah, di sini pada Selasa.
Ditanya sama ada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) antara yang mempelawa PN untuk bekerjasama, Muhyiddin berkata banyak pihak telah mendekati gabungan itu untuk berbincang mengenai kemungkinan kerjasama politik.
"Ramai pihak telah mendekati kami, tetapi saya tidak perlu menyebut siapa. Kami masih terbuka.
"Di Kuala Lumpur, rakan-rakan lain juga telah mengadakan pertemuan, namun tidak perlu saya huraikan. Semua perbincangan ini adalah bersifat strategik, bagaimana untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang baik melalui perkongsian kuasa," jelas beliau.
Menurut Muhyiddin, yang merupakan Presiden Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pendekatan perkongsian kuasa amat penting memandangkan realiti politik dan geopolitik semasa menyaksikan tiada satu parti pun mampu membentuk kerajaan secara bersendirian.
PN turut komited untuk terus bekerjasama dengan mana-mana parti yang berkongsi nilai dan perjuangan yang sama, sama ada sebelum atau selepas pilihan raya negeri akan datang, ujar beliau.
STAR dan SAPP sebelum ini dilaporkan sedang mengerakkan untuk menubuhkan gabungan politik baharu dikenali sebagai Gerakan Bersatu Sabah (GBS).

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

