POLITIK
PRN Sabah: SAPP, STAR keluar GRS taktik politik lama - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (tengah) hadir pada Majlis Pelancaran Skuad Yayasan Pelajaran MARA (Skuad YPM) Peringkat Negeri Johor 2025, di Arena Larkin hari ini. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan tindakan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai satu taktik politik lama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Ringkasan AI
- Ahmad Zahid anggap tindakan STAR dan SAPP keluar GRS sebagai taktik politik lama menjelang PRN Sabah ke-17 untuk bertanding atas lambang sendiri sebelum kembali bekerjasama.
- Beliau yakin pengundi Sabah cukup matang menilai strategi ini dan tidak akan terperangkap dengan permainan politik sedemikian.
- BN kekal bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN Sabah, walaupun STAR dan SAPP umum bertanding secara solo.
Bercakap pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Skuad YPM 2025 Peringkat Negeri Johor di Stadium Tertutup Arena Larkin hari ini, beliau yakin pengundi Sabah cukup matang menilai gerak politik sedemikian.
"Saya tidak rasa pengundi-pengundi di Sabah akan terperangkap dengan taktik politik lama seperti ini. Mereka cukup pintar untuk menolak permainan sedemikian," katanya.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata Barisan Nasional (BN) kekal menjalin kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN Sabah akan datang.
Pada Khamis lepas, STAR dan SAPP memutuskan untuk keluar daripada GRS dan akan bertanding secara solo dalam PRN17.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang berlangsung di Sri Gaya pada Rabu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami