Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – ikuti perkembangan harian prosiding mahkamah di sini.
POLITIK

PRN Sabah: SPR akan tentukan PRK atau tidak, jika kerusi Parlimen dikosong

Hasimi Muhamad 16/10/2025 | 06:30 MYT
Ramlan (foto) berkata, keputusan untuk menentukan sesuatu kerusi tersebut dikosongkan atau tidak adalah di bawah bidang kuasa Speaker Dewan Rakyat. -Gambar fail/Bernama
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan atau sebaliknya, jika terdapat kerusi Parlimen dikosongkan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 berlangsung.


Ringkasan AI
  • SPR akan menentukan keperluan PRK jika berlaku kekosongan kerusi Parlimen semasa PRN Sabah ke-17, namun keputusan kekosongan terletak di bawah kuasa Speaker Dewan Rakyat.
  • Dua Ahli Parlimen BN yang mahu bertanding atas tiket GRS mungkin perlu kosongkan kerusi Parlimen masing-masing, tertakluk kepada Akta Anti Lompat Parti dan keputusan Speaker.
  • Jika penggal Parlimen melebihi tiga tahun, PRK tidak perlu diadakan walaupun berlaku kekosongan kerusi, mengikut Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan.


Bagaimanapun, Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, keputusan untuk menentukan sesuatu kerusi tersebut dikosongkan atau tidak adalah di bawah bidang kuasa Speaker Dewan Rakyat.

"Untuk dalam konteks ini (kosongkan kerusi) adalah Speaker Parlimen. Jadi, kami menunggu sebarang keputusan daripada Speaker dan jika berlakunya kekosongan, pilihan raya akan diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tempoh notis kita terima daripada Speaker," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media pengumuman tarikh-tarikh penting PRN17 di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, pada Khamis.

Ditanya lanjut jika Kerajaan Persekutuan ketika ini sudah mencapai tempoh matang tiga tahun, beliau menjelaskan perkara itu juga akan diambil kira untuk penentuan PRK.

"Ya, itu SPR akan putuskan," katanya ringkas.

Dua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Datuk Shahelmey Yahya dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy sebelum dilaporkan berhasrat bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN17.

Mereka ketika ini masing-masing adalah Ahli Parlimen Putatan dan Ahli Parlimen Kalabakan, yang juga penyandang kerusi DUN Tanjung Keramat dan Tanjung Batu.

BN Sabah juga sebelum ini menegaskan untuk tidak mencalonkan semula kedua-dua penyandang kerusi DUN tersebut memandangkan mereka kekal menyokong kerajaan GRS, yang dipimpin oleh Datuk Seri Hajiji Noor.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata mereka perlu mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing jika bertanding atas logo GRS pada PRN17, yang ditetapkan pada 29 November ini.

Pengerusi BN Sabah itu berkata, tindakan Shahelmey dan Andi boleh diambil di bawah Akta Anti Lompat Parti.

Di Malaysia, menurut Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan, jika seseorang Ahli Parlimen kehilangan kelayakan atau kerusinya dikosongkan, pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan itu.

Bagaimanapun, jika tempoh penggal Parlimen telah melebihi tiga tahun, maka tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya kecil bagi menggantikan kerusi tersebut.






#PRN Sabah #SPR #Ramlan Harun #PRK