PRN Sabah: ‘Status anak Musa Aman bukan beban, siapa pun boleh bertanding’ - Yamani

Yamani Hafez berkata, pengalaman sebagai bekas Ahli Parlimen Sipitang memberikan kelebihan buat beliau untuk turun semula ke gelanggang, bezanya kali ini di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN). - Foto/ Astro AWANI
KOTA KINABALU: Datuk Yamani Hafez Musa menegaskan, statusnya sebagai anak kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bukan satu beban atau kelebihan luar biasa dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 kali ini.
Ringkasan AI
- Datuk Yamani Hafez Musa menegaskan bahawa statusnya sebagai anak Tun Musa Aman tidak memberi beban atau kelebihan luar biasa dalam Pilihan Raya Negeri Sabah.
- Yamani, calon PKR bagi kerusi Sindumin, menyatakan pengalaman politiknya memberikan kelebihan untuk bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.
- Beliau menekankan bahawa fokusnya adalah memastikan keperluan rakyat diwakili dengan tindakan yang bersesuaian sekiranya diberi mandat, serta akan mengumumkan manifesto dalam masa terdekat sebelum penamaan calon.
"Mungkin latar belakang itu menjadi beban untuk sesetengah orang tapi bagi saya tiada apa-apa masalah. Negara demokrasi, siapa-siapa saja pun yang merasakan boleh menawarkan diri untuk rakyat... ya secara demokrasi kan, jadi tiada apa-apa masalahlah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI selepas Majlis Sesi Rapat Umum dan Pengumuman Calon PKR oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, malam tadi.
Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan II berkata, tumpuannya kini adalah memastikan mesej dan keperluan rakyat di peringkat akar umbi diterjemahkan dalam bentuk tindakan sekiranya diberi mandat.
"Kita lakukan gerak kerja turun padang dan kita mendengar sendiri. Setiap tempat itu mempunyai keperluan berlainan dan yang paling penting, mesej yang diberikan di akar umbi itu sampai kepada kita dan kita catat perkara-perkara yang perlu diperbaiki kalau kita diberi mandat. Itu saya rasa yang penting dalam menawarkan diri untuk bertanding," ujarnya.
Mengulas mengenai manifesto, beliau memaklumkan pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat sebelum hari penamaan calon.
“Manifesto kita akan diumumkan tidak lama lagi, mungkin sebelum penamaan calon. Nantikan di laman Facebook saya, Yamani Hafez Musa, di situ banyak sudah aktiviti kami melawat kawasan,” ujarnya.
Tambah beliau, kawasan Sindumin yang merupakan salah satu DUN di bawah Parlimen Sipitang amat dekat di hatinya kerana menjadi tempat beliau memulakan kerjaya politik kira-kira sejak 15 tahun lalu.
"Ini bukan perkara baharu buat saya dari segi keakraban dengan masyarakat, tempat ini tempat saya memulakan karier politik saya 15 tahun dahulu di peringkat Pemuda sebelum saya diberi peluang untuk bertanding.
"Jadi perkara ini bukan perkara baharu dan tempat ini tempat yang saya biasa dan yakin untuk melakukan perkara yang boleh dilaksanakan di masa akan datang," jelasnya.
Yamani adalah antara 10 calon PKR yang diumumkan untuk bertanding di atas tiket Pakatan Harapan selain beberapa nama berpengaruh seperti penyandang kerusi Inanam, Datuk Peto Galim yang diberi amanah mempertahankan kawasan itu dan bekas Ahli Parlimen Putatan, Datuk Awang Husaini Sahari untuk DUN Petagas.
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

