Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – ikuti perkembangan harian prosiding mahkamah di sini.
POLITIK

PRN Sabah: Tiada undi pos, pengundi berada di Semenanjung perlu balik mengundi - SPR

Hasimi Muhamad 16/10/2025 | 05:15 MYT
Sebelum ini, beberapa pihak termasuk kumpulan hak asasi dan badan pemantau pilihan raya menggesa agar SPR mempertimbangkan undi pos bagi rakyat Sabah yang berada di luar negeri. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak akan melaksanakan undi pos bagi pengundi Sabah yang berada di Semenanjung pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).


Ringkasan AI
  • Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak akan melaksanakan undi pos bagi pengundi Sabah yang berada di Semenanjung pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17), dan mereka perlu pulang ke Sabah untuk mengundi.
  • Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, memberi jaminan proses pengundian pada 29 November tidak akan mengganggu peperiksaan SPM yang bermula 22 November, kerana pengundian dijadualkan pada hari Sabtu dan tidak bertembung dengan jadual peperiksaan.
  • Seramai 1.78 juta pengundi berdaftar layak mengundi dalam PRN17, dengan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 15 November, manakala pengundian awal ditetapkan pada 25 November dan penamaan calon pada 15 November.


Menurut Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, setakat ini tiada ketetapan rasmi berhubung pelaksanaan undi pos bagi pengundi berdaftar di Sabah yang menetap atau bekerja di Semenanjung.

“Buat masa ini, keputusan berhubung perkara sebegitu masih lagi belum diputuskan oleh SPR.

"Jadi, pengundi-pengundi rakyat Sabah yang berada di Semenanjung perlu balik ke Sabah untuk mengundi,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat khas SPR di sini, hari ini.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk kumpulan hak asasi dan badan pemantau pilihan raya menggesa agar SPR mempertimbangkan undi pos bagi rakyat Sabah yang berada di luar negeri bagi memudahkan penglibatan mereka dalam proses demokrasi dan mengurangkan beban kos perjalanan.

Sementara itu, Ramlan memberi jaminan bahawa proses pengundian bagi PRN17 tidak akan mengganggu perjalanan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadual berlangsung pada 22 November depan.

Jelas beliau, SPR telah mengambil kira segala aspek logistik sebelum menetapkan tarikh pengundian dan memastikan tiada pertindihan penggunaan lokasi antara pusat mengundi dan pusat peperiksaan

"Lagipun, proses pengundian ini akan diadakan pada hari Sabtu. Jadi, insya-Allah ia tak akan bertembung (dengan peperiksaan SPM).

"Ia tidak akan mengganggu proses peperiksaan SPM yang bermula pada 22 November," ujarnya.

Terdahulu, Ramlan dalam sidang media mengumumkan hari pengundian bagi PRN17 ditetapkan pada 29 November depan.

Manakala, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 15 November dan 25 November.

Seramai 1,784,843 pengundi berdaftar layak menjalankan tanggungjawab dalam PRN17, dengan masing-masing melibatkan seramai 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 tentera dan pasangan, manakala 12,729 polis serta pasangan.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon bertanding sehingga pukul 11.59 malam, 28 November.

Pada 6 Oktober lalu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman.

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli DUN yang dilantik.




#PRN Sabah #undi pos #SPR #Ramlan Harun