[TERKINI] Kapal FFC, Thousand Madleens diserbu Israel, 8 delegasi Malaysia terlibat
POLITIK

PRN Sabah: Warisan sasar menang dua pertiga, kekal bergerak solo

Hasimi Muhamad 08/10/2025 | 06:15 MYT
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Warisan di sini pada Rabu.
KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) menyasarkan kemenangan dua pertiga majoriti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, dengan menegaskan akan terus bergerak solo tanpa sebarang kerjasama politik bersama parti lain.


Ringkasan AI
  • Parti Warisan menyasarkan kemenangan dua pertiga majoriti dalam PRN Sabah ke-17 dan akan bertanding secara solo tanpa kerjasama politik dengan mana-mana parti lain.
  • Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan bahawa masa depan Sabah ditentukan oleh rakyat, bukan parti dari Semenanjung, sambil menolak kerjasama politik terdahulu yang pernah dikhianati.
  • Warisan telah memuktamadkan calon untuk semua 73 kerusi, termasuk menampilkan muka baharu dan anak muda bagi memperjuangkan suara serta hak rakyat Sabah.


Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, mandat besar daripada rakyat akan membolehkan keputusan yang lebih baik demi kepentingan negeri dan rakyat Sabah.

“Insya-Allah, kalau ada kebulatan sokongan (kita yakin boleh capai kemenangan dua pertiga). Dan betapa penting ini kepada kami.

“Sebab itulah seperti yang disebut tadi, sama ada kita memang menyasarkan perkara itu, memang kita harapkan mudah-mudahan rakyat memberi mandat yang besar, itu (memberi) kebaikan kepada keputusan yang kita buat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Warisan di sini pada Rabu.

Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna menjelaskan bahawa Warisan tidak akan mengulangi pendekatan bekerjasama dengan gabungan seperti Pakatan Harapan (PH) atau mana-mana blok politik lain.

Tegas beliau, yang menentukan masa depan Sabah bukanlah sesebuah parti, sebaliknya rakyat Sabah sendiri.

“Yang putuskan siapa bentuk kerajaan ialah rakyat, bukan parti tempatan atau dari Semenanjung,” tambahnya.

Ditanya jika tiada mana-mana parti atau gabungan berjaya memperolehi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan kelak, Shafie berkata: “Kita ketepikan dahulu soal kerjasama-kerjasama yang lepas, sebab saya sendiri pernah bekerjasama.

“Kerjasama dengan Tun Mahathir Mohamad, dengan janji bahawa Bersatu tidak akan masuk ke Sabah. Tetapi akhirnya masuk juga.

“Saya juga pernah bekerjasama dengan PH, kita bantu supaya gabungan itu kuat, supaya dapat tumbangkan Barisan Nasional (BN). Bila BN tumbang, kita juga yang bantu. Sampai Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun akhirnya keluar penjara," katanya.

Shafie menambah Warisan sudah memuktamadkan calon-calon yang bakal dikemukakan di semua 73 kerusi pada PRN 17, dan ia akan diumumkan apabila tiba masanya.

Ujar bekas Ketua Menteri Sabah itu, parti itu akan menampilkan muka baharu termasuk anak muda dalam memperjuangkan suara dan hak Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berkuat kuasa Isnin lalu, sekali gus memberi ruang kepada PRN17.






#PRN Sabah #Warisan #Shafie Apdal #kerjasama politik