POLITIK

PRN Sabah: Warisan tolak kerjasama, bergabung dengan rakyat - Shafie Apdal

Hasimi Muhamad 27/09/2025 | 11:15 MYT
Mohd Shafie berkata Warisan memilih untuk terus bergabung dengan rakyat dalam usaha membela nasib mereka. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Parti Warisan Sabah (Warisan) menegaskan bahawa parti itu tidak akan bergabung dengan mana-mana parti politik pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah akan datang.


Ringkasan AI
  • Warisan tegaskan tidak akan bergabung dengan mana-mana parti pada PRN17 Sabah, sebaliknya memilih untuk -bergabung dengan rakyat- demi membela keperluan asas mereka.
  • Parti akan bertanding di semua 73 kerusi DUN Sabah, selaras keputusan Majlis Tertinggi yang telah bermesyuarat dua kali.
  • Fokus Warisan adalah isu asas rakyat Sabah seperti air, banjir dan kebakaran, walaupun terdapat spekulasi mengenai gabungan parti lain.


Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, sebaliknya parti itu memilih untuk terus bergabung dengan rakyat dalam usaha membela nasib mereka.

"Kenapa pula ada bunyi-bunyi gabungan dengan mana-mana pihak yang ada? Saya yakin bahawa yang penting kepada kita bergabung dengan rakyat Sabah yang memerlukan pembelaan dari segi keperluan asas mereka yang cukup mendesak pada saat ini," katanya dalam sesi Bersama Rakyat Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengkoka di Pitas pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata Warisan akan meletakkan calon di kesemua 73 kerusi DUN Sabah pada PRN17, selaras dengan keputusan Majlis Tertinggi parti yang telah bermesyuarat sebanyak dua kali.

"Walaupun ada pihak-pihak menyatakan tentang ada gabungan-gabungan, apa yang penting kita sudah umumkan sebanyak dua kali dalam mesyuarat majlis tertinggi.

"Kita nyatakan bahawa kita akan bertanding 73 kerusi," tambah beliau.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata tumpuan Warisan adalah untuk memperjuangkan keperluan asas rakyat Sabah seperti isu air, banjir dan kebakaran.

Media sebelum ini melaporkan Barisan Nasional (BN) bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti dalam menghadapi PRN17, kecuali dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan kerjasama itu selaras dengan prinsip BN untuk mengelakkan pertindihan kerusi yang berpotensi dimenangi, khususnya melalui pakatan dengan rakan-rakan politik seperti Pakatan Harapan (PH) serta pihak lain yang sehaluan.





#Mohd Shafie Apdal #PRN Sabah #Warisan kerjasama parti #Bertanding semua kerusi