GOMBAK: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.16 Sungai Tua menyaksikan pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini.

Saingan tiga penjuru itu melibatkan calon Pakatan Harapan (PH) yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Hanif Jamaluddin dan calon bebas (Kunci), G. Suman.

Pengumuman calon itu dibuat Pengurus Pilihan Raya N.16, Nor Azlina Abdul Aziz di Pusat Penamaan Calon (PPC), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sg Pusu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Amirudin menang dengan majoriti 11,374 mengalahkan tiga calon lain bagi DUN berkenaan.

PRN Selangor menyaksikan seramai 138 calon dari pelbagai parti politik akan berentap bagi merebut 56 DUN yang dipertandingkan.

Gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional menampilkan 20 calon dari PKR, 15 dari DAP, 12 dari BN dan sembilan dari Parti Amanah Negara.

Sementara itu, PN menampilkan 31 calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), 17 dari Pas dan lapan kerusi ditandingi Gerakan.