KUCHING: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menggesa masyarakat Cina di Sarawak untuk terus menyokong Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) nanti.

Jelas Ketua Menteri Sarawak itu, masyarakat Cina yang kebanyakannya menyokong pembangkang dalam PRN-11 harus berfikir sebaik-baiknya sebelum membuat undian dalam PRN12.

“Kalau anda sokong SUPP sebagai rakan seperjuangan GPS, negeri kita akan terus maju dengan baik.

“Kita mahu orang Cina dalam kerajaan, GPS tidak dapat menjadi kerajaan tanpa orang Cina,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Waterfront Batu Kawah pada Isnin.

Beliau pada masa sama menggesa pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah untuk kekal menyokong dan mengundi Presiden SUPP, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

“Dr Sim dan rakan-rakannya (SUPP) mesti ada dalam kerajaan supaya kita bersama-sama membangunkan negeri ini.

“Saya melantiknya untuk menjaga sekolah Cina dan sekarang sekolah menengah Cina secara automatik mendapat RM10 juta setahun,” katanya.