KUCHING: Polis Kontinjen Sarawak membuka satu kertas siasatan dan mengeluarkan kompaun RM4,000 kepada calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, Ali Biju berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh penyokongnya.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata pelanggaran SOP itu dilakukan oleh penyokong Ahli Parlimen Saratok tersebut semasa hari penamaan calon pada 6 Disember lalu.

“Setakat ini satu kertas siasatan dibuka berkaitan dengan kes pada hari penamaan calon iaitu terdapat satu kompaun dikeluarkan kepada seorang calon BEBAS yang mana penyokong-penyokong calon tersebut telah berkumpul dan menunggu calon tersebut selepas dia selesai penamaan calon di pusat penamaan calon,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Demonstrasi PORU bersama Unit Water Cannon Briged Sarawak PGA pada Rabu.

Beliau mengingatkan agar calon yang bertanding memastikan penyokong mereka untuk mematuhi SOP yang telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mengulas lanjut, Aidi menambah, tiada pihak mahupun didapati melanggar SOP berkempen yang masuk hari ketiga.

“Setakat proses dua hari berkempen seperti yang telah ditetapkan oleh pihak SPR SOP PRN ini, saya dapati tiada lagi mana-mana pihak ataupun parti yang menganjurkan ataupun melakukan sesuatu yang bertentangan dengan SOP.

“Contohnya di mana kawasan yang tidak mempunyai liputan internet, dibenarkan untuk mengadakan kempen ataupun di dewan-dewan dengan dihadkan kepada jumlah yang tertentu. Jadi perkara ini masih dipatuhi,” katanya.

Untuk rekod, seramai 7,434 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak bertugas semasa hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.

Manakala sepanjang tempoh penamaan calon dan tempoh berkempen pula, seramai 5,522 kekuatan dikerahkan bagi memastikan proses PRN berjalan lancar.