KUCHING: Setelah sembilan penggal, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Datuk Seri Ambrose Blikau Enturan mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi tersebut.

Ambrose, 68 mengumumkan pendiriannya kepada ahli parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di kawasannya, sebelum dipanjangkan ke dalam bentuk pengumuman dan ucapan terima kasih oleh PBB Cawangan N52 Katibas.

Beliau merupakan tokoh veteran dalam politik Sarawak dan dipilih sebagai wakil rakyat seawal usia 26 tahun.

Keputusan itu mengiyakan kenyataan Setiausaha Agung PBB yang juga Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sebelum ini mendedahkan salah seorang ADUN di kawasan parlimennya tidak akan mempertahankan jawatan.

Spekulasi terus berlegar dan antara nama yang disebut-sebut bakal dicalonkan menggantikan Ambrose ialah Lidam Assan, yang kini berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Nanta yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Lidam, 59 dari Nanga Tengadak, Katibas memiliki ijazah sarjana pentadbiran kewangan dari Heriot-Watt University, Scotland dan sarjana muda pentabiran perniagaan dari Universiti Teknologi Mara.

Lidam Assan

Mengimbas kembali perjalanan politik Ambrose, beliau bertanding dan menang di DUN Katibas pada tahun 1979, selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya tersebut pada 1977.

Pada 1987, ketika krisis Ming Court memuncak, Ambrose tewas kepada cabaran wakil Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Felix Bantin Jibom dengan perbezaan majoriti 544 undi.

Namun Ambrose kembali merampas kerusi tersebut pada tahun 1991, dengan mencipta majoriti 1,666 undi untuk menewaskan Felix dan calon parti Negara, James Minggu Seran.

Untuk dua penggal selepas itu, suami kepada Datin Seri Marie Therese Mathias ini menang tanpa bertanding.

Pada 2016, pada usia 63 tahun, Ambrose menewaskan calon DAP Paren Nyawi, dengan majoriti bertambah 3,063 undi, sekali gus membuktikan Katibas sebagai kubu kuat PBB.

Lulusan sarjana pentabiran perniagaan dari Harriot Wat University, Scotland ini pernah menjadi menteri muda Sarawak dari tahun 2001 hingga 2009.

Manakala dalam hierarki parti, beliau pernah menjawat Setiausaha Agung PBB.

Jasa beliau kepada Katibas, yang terletak tidak jauh dari pedalaman Song, Kapit cukup besar.

Antaranya, bersama-sama ADUN Baleh, mendiang Tan Sri James Jemut Masing dan Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi merancang pembinaan laluan yang menghubungkan kawasan itu dengan bandar Sibu – sesuatu yang mustahil dan mahal sehingga tahun 2000.

Dengan sumbangan besarnya, terutama dalam mengekalkan kestabilan dan keharmonian, tidak hairanlah keputusan Ambrose untuk bersara disambut dengan pelbagai emosi oleh penduduk di kawasan tersebut.

Pun begitu, tindakan beliau adalah bertepatan, kerana Katibas memerlukan ‘darah baharu’ untuk meneruskan kesinambungan pembangunannya.