KAPIT: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus Wilson Nyabong Ijang selesai membuang undi tepat jam 10 pagi tadi.

Beliau hadir bersama isteri Seriah Thomas di Sekolah Kebangsaan Sungai Amang, tepat jam 9.40 pagi.

Ditanya mengenai perjalanan proses pilihan raya di pusat pembuangan undi tersebut jelasnya, dia berpuas hati kerana prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sebaiknya.

“Saya berpuas hati segala ketetapan garis panduan yang digariskan oleh Suruhjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat dipatuhi sebaiknya setakat ini.

“Saya difahamkan segalanya berjalan lancar sejak pagi tadi dan pengundi yang hadir memberi kerjasama yang baik,” ujarnya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus merekodkan 7,894 jumlah daftar pemilih dengan 746 pengundi di SK Sungai Amang.

Wilson merupakan penyandang kerusi DUN tersebut sejak 2016 menerusi PRN11 setelah memperoleh kemenangan bergaya dengan 3,778 undi seterusnya mencipta majoriti selesa dengan 3,284.

Beliau menumpaskan Bendindang Manjah dari DAP yang memperoleh 494 undi dan Bebas, Yong Sibat dengan 321 undi.