PRN Sarawak: Calon GPS Krian berterima kasih, harap sokongan Ali Biju

Assim Hassan
Disember 4, 2021 04:17 MYT
Friday (gambar) optimis boleh menang di kerusi DUN Krian pada PRN12 kali ini.
KUCHING: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, Friday Belik
berharap bekas ADUN Krian Datuk Ali Biju untuk bersama-sama memberi sokongan kepada beliau sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.
Friday yang merupakan bekas penjawat awam berusia 62 tahun itu berkata, setakat ini belum ada perbincangan secara formal diadakan antara beliau dan Ali.
"Sebelum itu terima kasih kepada Datuk Ali Biju kerana tidak bertanding di DUN itu. Belum ada perbincangan secara formal lagi. Mungkin dalam sedikit masa lagi. Kita akan mendapatkan dan berbincang dengan beliau.
"Kita mengharapkan sokongan dan bantuan daripada beliau bersama penyokongnya untuk bekerjasama dengan kita. Kalau itu (boleh dilakukan) ia beri peluang kemenangan yang cerah kepada GPS," katanya.
Ditanya mengenai peluang untuk memenangi kerusi DUN Krian, Friday yang pertama kali bertanding optimis boleh merampas kerusi DUN tersebut sekali gus menggunakan pengalaman sebagai bekas penjawat awam dan Residen Bahagian Betong.
Hal ini katanya disandarkan menerusi kerja keras dan usaha menyantuni rakyat DUN tersebut sejak beberapa tahun lalu.
Sebelum ini, kerusi DUN Krian disandang Ali selama dua penggal atas tiket Parti Keadilan Rakyat pada tahun 2011 dan 2016.
Ali kemudian meninggalkan PKR dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Ogos 2020.
#Calon baharu GPS #DUN Krian #PRN Sarawak #Friday Belik