MUKAH: Cadangan mewujudkan Dana Kekayaan Berdaulat bagi memacu kestabilan ekonomi selain memperkukuhkan kedudukan kewangan Sarawak demi masa depan generasi akan datang.

Ia juga satu langkah persediaan sekiranya Sarawak kehabisan sumber petroleum satu hari nanti.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata  penubuhan dana itu k dapat direalisasikan sekiranya rakyat terus memberi mandat kepada  GPS untuk kekal mentadbir negeri itu pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) akan datang.

"InsyaAllah, jika menang saya akan tubuhkan Dana Kekayaan Berdaulat kerana kita telah kumpulkan simpanan dan hasil kita akan dilabur secara profesional kepada pengurusan dana antarabangsa yang akan memberi pulangan kepada masyarat belia sebagai langkah alternatif sekiranya minyak dan gas kita sudah habis," ujarnya

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Belia Mukah, di sini pada Jumaat.

Terdahulu Abang Johari memberitahu kertas cadangan penubuhan dana itu sudah disiapkan oleh kumpulan pakar dan hanya akan dilaksanakan selepas dibentangkan untuk kelulusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada persidangan DUN akan datang.

Tambahnya, masyarakat Mukah akan menikmati pembangunan berteraskan ekonomi digital tersebut dari sudut kepantasan akses internet dan sektor pelancongan melalui seni persembahan.

Dana Kekayaan Berdaulat lazimnya diperkenalkan untuk memperkukuh kedudukan kewangan sesebuah negara.

Antara negara yang melaksanakan dana ini termasuklah Norway menerusi Dana Pencen Kerajaan Norway; China menerusi Perbadanan Pelaburan China; Emeriah Arab Bersatu, menerusi Lembaga Pelaburan Abu Dhabi dan Singapura menerusi Temasek Holdings.

Jika dilaksanakan, Sarawak merupakan Kerajaan Negeri pertama melaksanakan dana seumpamanya, yang menjadi sebahagian daripada komponen sistem kewangan alternatifnya.

Terdahulu tambah Abang Johari ada Kajian dijalankan mengenai pelaksanaan dana tersebut dengan mencontohi mekanisme yang digunapakai oleh negara Norway, dimana dana kekayaan negara itu dilapor kini bernilai US$1.4 trilion.