MIRI: Nama Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Telang Usan Dennis Ngau akhirnya dipetik oleh Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku calon yang akan kembali bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 yang akan datang.

Beliau dengan yakin menyuarakan hasratnya untuk menyaksikan sokongan rakyat Telang Usan kembali diberikan kepada salah seorang daripada tujuh penyandang kerusi DUN daripada parti kerajaan negeri GPS di bahagian Miri.

Pengumuman tersebut hampir melengkapkan senarai nama kesemua calon GPS di Miri kecuali kerusi DUN Pujut yang masih menjadi tanda tanya dan akan diumumkan Abang Jo pada 4 Disember kelak di Kuching.

“Untuk yang berhomat Datuk Dr Penguang Manggil teruskan jadi calon di Marudi, juga calon kita di Mulu yang selalu berjanji tapi tunai janji, Datuk Gerawat Gala, dan calon kita di Telang Usan, Dennis Ngau, teruskanlah menjadi calon di Telang Usan,” ucapnya semasa merasmikan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) kawasan Marudi di sini hari ini.

Ketua Menteri Sarawak itu telah memberi gambaran awal secara jelas setiap calon GPS yang akan bertanding dalam PRN12 di Miri dalam majlis yang berbeza yang dihadiri beliau beberapa hari lalu di Miri, Mulu dan Marudi.

Pada PRN ke-11 lalu, tujuh penyandang DUN iaitu Dennis Ngau (Telang Usan-PBB), Datuk Seri Lee Kim Shin (Senadin-SUPP), Datuk Sebastian Ting Chiew Yiew (Piasau-SUPP), Datuk Rosey Yunus (Bekenu-PBB), Ripin Lamat (Lambir-PBB) dan Datuk Penguang Manggil (Marudi-PBB) berjaya mengalahkan lawan masing-masing dan memenangi kerusi di bawah tiket Barisan Nasional (BN).

Sementara calon SUPP ketika itu, Hii King Chiong kalah di kerusi DUN Pujut dengan calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) Dr Ting Tiong Choon dengan majoriti besar 1,759 undi,

Ting kemudiannya dilucutkan kelayakan sebagai ADUN pada Mei 2017, kerana memiliki dua kewarganegaraan iaitu Australia dan Malaysia.

Bagi Dennis, sebagai wakil rakyat, amanah dan tanggungjawab yang diberi akan dibuat sehabis baik bukan sahaja untuk menang tetapi untuk meneruskan agenda pembangunan kerajaan demi rakyat Sarawak.

“Sebenarnya Presiden PBB, Abang Jo sudah memberikan kita amanat dari tahun-tahun sebelumnya lagi untuk kita terus melaksanakan perkhidmatan yang terbaik dan beliau semestinya mempunyai caranya tersendiri untuk menilai calon-calon GPS untuk PRN yang akan datang.

“Kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan PBB dan kita berjanji akan memastikan DUN Telang Usan akan menang untuk Abang Jo meneruskan agenda pembangunan  negeri ini.

“Kita akan berjanji memperolehi kemenangan yang besar di kawasan kita dengan majoriti yang besar dan kita telah mengadakan perancangan tertentu untuk berdepan dengan pilihan raya yang sangat berbeza merangkumi garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya semasa ditemui pemberita selepas majlis perasmian di Marudi hari ini.

Pada PRN11 tahun 2016 lalu, Dennis Ngau berjaya mempertahankan kerusi DUN Telang Usan dalam pertembungan satu lawan satu dengan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Roland Engan dengan majoriti 167 undi.