KUCHING: Menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak ke 12 (PRN12), setiap parti bertanding kini sudah mula turun padang bagi memperkenalkan bakal calon dan logo masing masing.

Berbeza  dalam PRN Sarawak sebelum ini, tiada lagi logo dacing, sebaliknya logo baru akan mewakili gabungan baharu parti politik iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dibentuk pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Berlambangkan burung ikonik Sarawak iaitu burung kenyalang, GPS yang didokongi empat parti tempatan iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) perlu bekerja keras untuk mempromosi logo berkenaan yang mungkin terlalu baharu di mata pengundi terutama di luar bandar dan pedalaman.

Tambahan pula sebuah lagi parti iaitu Parti Bumi Kenyalang (PBK) turut menggunakan burung kenyalang sebagai logo yang mungkin menimbulkan kekeliruan kepada pengundi.

Mengulas perkara berkenaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Pergerakan Wanita Parti Pesaka (PBB) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata perkara itu akan dibincangkan dengan teliti.

“Apa yang penting, logo burung kenyalang GPS lebih hebat.

“Ini antara perkara penting yang akan diambil kira semasa kempen kelak, kita yakin pengundi sudah matang dan tahu serta mengenali logo kita (GPS) dan mereka akan menyokong apa yang telah dilakukan oleh kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bakul Makanan PEKEMA Peduli di Dewan Cenderawasih Semariang di sini.

Untuk rekod PBK didaftarkan pada tahun 2013 dan beribu pejabat di Bintulu.

Pada 5 September 2020, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi lampu hijau kepada GPS dan PBK menggunakan logo masing-masing dalam mana-mana pilihan raya.sama ada PRN atau PRU.