ASAJAYA: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menjadi calon pertama menyerahkan borang penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya di SMK Hajah Laila Taib di sini pada Isnin.

Sekitar jam 9.08 pagi, Karim yang hadir dengan pakaian batik PBB selamat menyerahkan borang penamaan calon bersama seorang penyokong dan seorang pencadang yang telah tiba seawal 8.54 pagi.

Calon kedua dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) Ishak Buji yang tiba di lokasi sekitar jam 8.43 selesai menyerahkan borang penamaan calon sekitar jam 9.13 pagi.

Parti Bumi Kenyalang (PBK) iaitu Mohamad Mahdeen Saharuddin tiba seawal 8.20 pagi menjadi calon ketiga menyerahkan borang penamaan calon sekitar jam 9.15 pagi.

Melengkapkan persaingan empat penjuru, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Mahmud Epah tiba seawal jam 8.45 pagi telah menyerahkan borang penamaan calon sekitar jam 9:20 pagi.

Selepas dinilai dan semakkan dibuat, sekiranya calon tidak mempunyai masalah.

Maka Pengurus Pilihan Raya (RO) akan membuat pengumuman selepas tamat tempoh proses penamaan pada jam 10 pagi.

Pada PRN11, DUN Asajaya ini menyaksikan saingan satu lawan satu yang dimenangi Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dengan undi sebanyak 6,163 mengalahkan Abang Junaidi Abang Gom dari PKR yang hanya memperoleh undi sebanyak 2,085.

Mengikut daftar pemilih terkini, 12,349 jumlah penduduk Asajaya yang layak untuk mengundi akan memilih wakil rakyat mereka pada 18 Disember ini.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember sebagai hari pengundian bagi PRN12 Sarawak, manakala undi awal pada 14 Disember.

Sebanyak 82 pusat penamaan calon dan 82 pusat penjumlahan rasmi undi akan digunakan pada pilihan raya tersebut melibatkan seramai 1,252,014 orang pengundi di Sarawak layak mengundi dalam PRN ke-12 Sarawak.