KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Dr Sim Kui Hian hari ini melancarkan manifesto bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah.

Dengan tema 'Majulah Batu Kawah', manifesto itu menggariskan empat tunjang utama yang memberi tumpuan kepada pembangunan holistik untuk tempoh lima tahun.

"Manifesto saya yang pertama adalah menjaga isu rumah, pendidikan dan nilai muni.

"Kedua, meningkatkan taraf hidup dan infrastruktur. Kemudiannya, meningkatkan taraf hidup dan ekonomi digital.

"Terakhir, adalah dengan membangkitkan kemakmuran Sarawak dan mewujudkan Batu Kawah 2.0,” katanya.

Jelasnya, manifesto tersebut menjadi asas pembangunan berterusan yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh lima tahun menerusi proses pemulihan pasca COVID-19.

Malah, kata Dr Sim ia turut merangkumi rancangan jangka masa panjang dan pendek.

Antara pembangunan yang masih dalam pembinaan di kawasan tersebut termasuklah stesen Petros, rumah mampu milik Sri Pertiwi dan kamera litar tertutup (CCTV) pintar.

Dengan mandat yang diberikan katanya, pembangunan di kawasan Batu Kawah akan terus terjamin.

“Lebih banyak pembangunan akan dilakukan seperti sistem dron untuk memantau keselamatan setempat, pusat kanser Sarawak dan pasar basah yang mampu menempatkan 400 peniaga,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan SUPP Batu Kawah di sini.

Kerusi DUN Batu Kawah bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang diwakili Kelvin Yii Lee Wuen, Chai Kueh Khun dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) Fong Pau Teck mewakili Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI).

Pada PRN11, Dr Sim memenangi kerusi Batu Kawah selepas meraih 6,414 undi menewaskan calon DAP, Christina Chiew Wang See (4,329 undi) dan calon Bebas, Liu Thian Leong (1,109 undi).