BINTULU: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Stephen Rundi Utom menggesa rakyat Sarawak untuk tidak sesekali mempercayai agenda yang akan dibawa oleh pembangkang pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) kelak.

Ini kerana tegasnya, parti pembangkang akan sentiasa mencari kesalahan kerajaan sedia ada tanpa melihat kepada agenda pembangunan yang telah dibawa.

“Memang sudah sedia maklum masa pilihan raya memang banyak (parti) akan muncul macam cendawan tumbuh selepas hujan. Mereka ini pasti mencuba untuk melakukan apa sahaja demi meraih kepercayaan rakyat.

“Tetapi bagi rakyat, ini bukan masa yang sesuai untuk kita mencuba kerana kita harus tahu mana intan dan mana kaca,” katanya.

Beliau yang juga penyandang kerusi DUN Kemena berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI di Bintulu pada Jumaat.

Tambahnya, rakyat negeri ini wajar mengambil iktibar daripada pemerintahan 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Jelasnya, pembangkang hanya pandai menabur janji namun tidak mampu untuk menunaikannya.

“Kita sudah lihat 22 bulan dahulu, mereka (PH) menjanjikan langit dan bintang selepas itu tidak dapat ditunaikan dan mengatakan manifesto ini bukan Bible.

“Ini suatu yang kita tidak boleh terima kerana kita tahu apa yang boleh kita lakukan dan biasanya apa yang kita janjikan pasti akan dapat kita lakukan.

“Kalau tidak itu dianggap membohongi rakyat dan ia adalah satu dosa sekiranya kita menipu,” ujarnya lagi.

Pada PRN11, Dr Stephen yang merupakan penyandang empat penggal kerusi DUN Kemena berjaya menewaskan calon DAP, Leighton Manjah dengan memperoleh 7,192 undi.

Manakala Leighton hanya memperoleh 2,324 undi.