BETONG: Penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.35 Saribas kali ini menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Berbanding dengan PRN Sarawak ke-11 pada 2016, hanya dua penjuru yang bertembung.

Kerusi itu menjadi rebutan di antara Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR), Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Penamaan calon telah berlangsung di Dewan Perpaduan Debak.

Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya (RO) DUN Saribas, Jamain Wahab mengumumkan lima nama calon dan tiada penolakan pencalonan.

Calon GPS yang telah mengemukakan nama ialah Ricky@Mohammad Razi Sitam dan dicadang oleh Piee Alwi serta disokong Kadam Ot.

SEDAR pula menghantar calon Kurnaen Boben diiringi pencadang Nahrawi Yusuf dan disokong oleh Peni Sebeli.

Sementara itu, PBK pula telah diwakili oleh Sim Min Leong dan dicadang oleh Amir Mukmin Jini serta disokong Habsah Jini.

Manakala, calon PSB Melanie Bolhassan turut menghantar pencalonan yang telah dicadang oleh Suhaini Dolhi dan disokong Jamit Ukok.

Calon kelima pula daripada PKR iaitu Patrick Kamis bagi PKR pula dicadang oleh Bolhan Bakri dan disokong Stephen Lamkop James Duang.

Untuk rekod, kerusi DUN Saribas pada PRN Ke-11 dimenangi oleh Razi Sitam atas tiket Barisan Nasional (BN)- Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dengan majoriti undi 4432 menentang calon PKR Yakup Daud.