KAPIT: Nicholas Kudi Jantai tidak mampu menahan sebak sejurus diumumkan sebagai pemenang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh, sebentar tadi.

Ketika ditemui media, Nicholas berkata beliau sedih mengenangkan mendiang Tan Sri James Jemut Masing yang meninggal dunia pada 31 Oktober lalu.

“Terasa sedih (kerana) kita di kawasan Baleh kehilangan seorang yang sangat mengambil berat soal rakyat.

“Sepatutnya hari ini bukan saya yang berada di sini tapi mendiang Tan Sri James yang sepatutnya di sini.

“Namun saya percaya oleh kerana perjalanan kita selama ini diberkati oleh tuhan, diberkati oleh mendiang Tan Sri, saya rasa kita tidak mengalami masalah dalam soal berkempen,” katanya.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] PRN Sarawak: Tidak rasmi, GPS lepasi garisan majoriti mudah, terus kuasai kiraan undi

BACA: Keputusan PRN Sarawak ke-12 (2021)

Selain itu, Nicholas berkata faktor utama kemenangannya disebabkan sokongan padu daripada Puan Seri Corrine Masing, jentera GPS dan warga Baleh sendiri.

“Ya saya akui isteri mendiang Tan Sri memainkan peranan yang amat penting dalam kemenangan saya.

“Saya juga berterima kasih kepada jentera-jentera yang membantu memenangkan mendiang Tan Sri selama lapan penggal di kawasan Baleh.

“Mereka telah menggunakan segala pengalaman yang ada bagi membantu perjalanan kempen selama 12 hari dan ini adalah hadiah kepada semua rakyat Baleh,” tambahnya.

Dalam saingan empat penjuru kali ini, Nicholas berjaya memperoleh 3,541 undi dengan majoriti selesa 1,909 undi.

Beliau menewaskan pesaingnya termasuk Koh Kumbong daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang mencatat 1,632 undi, Kenneth Usang (DAP) (470 undi), Sukarno Layau daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) (82 undi).