KUCHING: Empat penyandang kerusi bagi kawasan Pantai Damai, Semariang, Tupong dan Demak Laut bakal dicalonkan semula pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada majlis makan malam bersama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di sini pada Sabtu.

Antaranya, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Fazzrudin Abdul Rahman dan Dr Hazland Hipni

“Yang Berhormat saudara Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Menteri Muda yang juga menjaga Hal Ehwal DBKU, Yang Berhormat Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Menteri Muda kita yang juga wakil rakyat di Semariang, yang terus akan menjadi Yang Berhormat, saudara Datuk Hazland dan Fazzrudin InshaAllah..” katanya memberikan bayangan tersebut.

Kesemua penyandang tersebut mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Bagaimanapun sebelum ini Abang Johari memaklumkan senarai akhir yang telah dimuktamadkan akan diumum secara rasmi pada 4 Disember ini.

Dalam pada itu, Abang Johari menekankan keperluan nilai perpaduan dalam membentuk masa depan yang cerah termasuklah dari aspek pembangunan kawasan.

“Alhamdulillah di kawasan DUN di bawah DBKU kita begitu rapat sekali, perpaduan sangat kukuh di semua kawasan DUN di sini maka kita dapat membangun. Dan dengan adanya pendapatan lebih, kita dapat bangunkan kawasan masing-masing di DBKU ini,” tambahnya.

Beliau turut memberi jaminan, Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memastikan segala perancangan pembangunan kawasan berkenaan akan terus dilaksanakan jika mendapat mandat baharu daripada rakyat.