PRN Sarawak: Peratusan keluar mengundi tinggi, bukti mandat diberi rakyat - Abdul Karim

Fadilah Sulaiman
November 9, 2021 07:34 MYT
Abdul Karim menambah, SOP yang ketat seperti tidak membenarkan kempen secara bersemuka diyakini tidak akan menjejaskan usaha kempen yang telah dilakukan sejak sekian lama - Gambar fail
KUCHING: Peratusan keluar mengundi yang tinggi pada pilihan raya penting dalam membentuk sesebuah kerajaan yang mendapat mandat majoriti rakyat.
Justeru, Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berharap bilangan pengundi berdaftar yang keluar menjalankan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 kelak melepasi 70 peratus.
“Kerana untuk membentuk mana-mana kerajaan sama ada kerajaan negeri atau Kerajaan Persekutuan dalam mana-mana pilihan raya, jumlah pengundi yang keluar mengundi mestilah tinggi.
“Saya ingin melihat 70 (atau) 80 peratus pengundi keluar mengundi untuk PRN Sarawak.
“Kawasan saya sentiasa 75 peratus ke atas dan saya berharap untuk melihat lebih daripada 75 peratus kali ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media Sarawak International Festival of Music and Arts 2 (SIFMA 2) di Bangunan Baitulmakmur, di sini pada Selasa.
Selaku penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Abdul Karim menambah, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti tidak membenarkan kempen secara bersemuka diyakini tidak akan menjejaskan usaha kempen yang telah dilakukan sejak sekian lama.
“Kalau kita lihat semua orang sudah teruja dengan pilihan raya ini, ia bukannya perkara baharu, baik parti kerajaan atau parti pembangkang mereka telah turun padang. Calon-calon yang nak bertanding mesti ada cara sendiri bagaimana mereka hendak mempromosikan sendiri.
“Jadi semua SOP ini hanyalah untuk memastikan rakyat selamat tetapi itu tidak bermakna dengan adanya SOP tersebut, pengundi tidak akan dapat mengetahui calon yang akan bertanding atau parti mana yang akan bertanding.
“Kadang-kadang kita yang khuatir, tetapi mereka yang di luar bandar, anda pergi ke mana-mana rumah panjang, mereka tahu ini lambang GPS, DAP, atau PKR.. Jadi, itu tidak menjadi masalah sama sekali, apa yang mereka perlu lakukan ialah keluar mengundi. Kerana kita perlu melihat jumlah pengundi yang tinggi,” katanya lagi.
Untuk rekod, Abdul Karim telah menjadi ADUN Asajaya selama empat penggal sejak 2001.
Pada PRN Sarawak ke-11 seramai 76.30 peratus daripada 10,967 pemilih di DUN itu telah keluar mengundi, sekali gus menyaksikan Akdul Karim memenangi majoriti sebanyak 4,078 menewaskan calon PKR, Abang Junaidi Abang Gom.
#PRN Sarawak #PBB #Abdul Karim #mandat rakyat