KAPIT: Sektor pertanian akan terus menjadi keutamaan dan diperkasa dalam usaha meningkatkan pendapatan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh.

Perkara itu akan menjadi perjuangan Kenneth Usang George, calon DAP DUN Baleh sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 Sarawak (PRN12).

Menurutnya, beliau juga akan membangunkan sebuah pusat pengumpulan hasil pertanian bagi memastikan hasil kebun penduduk di sana dapat dikomersialkan.

“Dengan adanya sebuah pusat pengumpulan, taraf hidup mereka akan meningkat. Mereka tak lagi pergi kerja di bandar Kapit dan bandar-bandar besar lain seperti Bintulu, Miri atau ke Singapore dan Papua.

“Mereka boleh terus menetap di Kapit pada masa sama memajukan Kapit kerana kawasan ini memang sangat berpotensi,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di Kapit pada Selasa.

Tambahnya, dengan keluasan tanah yang besar di Baleh, banyak lagi tanaman yang boleh diusahakan menggunakan teknologi moden.

“Di Semenanjung ada banyak graduan yang tidak bekerja tapi mereka mula membuat tanaman secara fertigasi pendapatan mereka boleh mencecah antara RM4000 ke RM8000 sebulan.

“Hasil-hasil ini mampu diperoleh dengan tanah sebesar kurang daripada satu ekar dan bayangkan di sini ada banyak tanah, bukan setakat tanam cili sahaja malah banyak lagi boleh diusahakan,” katanya lagi.

Antara lain ujarnya, sekiranya menang dalam PRN12 akan datang, pembangunan infrastruktur sedia ada juga akan diteruskan sebagai persediaan mendepani perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan menjelang 2024.

Ini kerana Baleh merupakan kawasan sempadan strategik yang pastinya akan menerima impak ekonomi hasil daripada penghijrahan ini sekiranya dibangunkan sebaiknya.

Kenneth, 39, merupakan anak kepada bekas penyandang kerusi DUN Pelagus, George Lagong daripada parti Bebas pada 2011 sehingga 2016.

Pada PRN12 kali ini, beliau berentap dalam saingan empat penjuru melibatkan Nicholas Kudi Jantai Gabungan Parti Sarawak (GPS), Koh Kumbong mewakili Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Irwan Iskandar Sukarno daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK).