KUALA LUMPUR : Calon DAP bagi kerusi N14 Batu Kawah, Dr Kelvin Yii Lee Wuen ingin mengetengahkan dua keutamaan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak.

Dua keutamaan tersebut adalah reformasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak demi menjamin ketelusan institusi politik dan menambah baik sistem kesihatan dan penjagaan rakyat di Bumi Kenyalang.

Antara lain, beliau turut mengetengahkan tujuh reformasi sekiranya diberikan mandat pada 18 December ini.

"Tujuh reformasi institusi politik yang DAP cadangkan. Pertama, kita kena panjangkan tempoh sidang DUN Sarawak.

"Kedua sesi soal jawab bersama Ketua Menteri Sarawak. Reformasi ini melibatkan Ketua Menteri Sarawak sendiri untuk hadir ke DUN mungkin sekali dalam seminggu untuk menjawab terus semua kenyataan mahupun persoalan daripada Adun kerajaan ataupun adun pembangkang.

"Kita memerlukan kamar, sebuah kamar khas, yang berlangsung serentak dengan kamar utama supaya setiap ADUN boleh membawakan isu-isu yang spesifik kepada setiap kawasan mereka dan mendapatkan penjelasan mahupun jawapan daripada pihak menteri yang berkaitan," katanya dalam perkongsian video di media sosial menerusi inisiatif Suara Untuk Semua.




Menjelaskan lebih lanjut, reformasi keempat akan memberi fokus terhadap usaha memperkasakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri Sarawak (PAC) dan menubuhkan Jawatankuasa Khas DUN untuk memperkasakan sistem semak dan imbang di DUN.

Ujar Kelvin, pengerusi PAC harus dijawat oleh pihak pembangkang. 

"Selain itu, kita harus menubuhkan lebih banyak jawatankuasa untuk memantau setiap kementerian di DUN Sarawak.

"Reformasi kelima, segala persidangan dan prosiding DUN mahupun kamar utama mahupun jawatankuasa harus disiarkan secara langsung kepada semua rakyat Sarawak," tegas beliau.

Menjelaskan berkenaan dua reformasi terakhir katanya, peruntukan tahunan yang sama rata perlu diberikan kepada semua kawasan DUN yang mana ia dilihat penting bagi memastikan rakyat tidak dihukum atas pilihan demokrasi mereka.

"Reformasi ketujuh, Sarawak perlu memperkenalkan sebuah undang-undang anti lompat parti bagi mengembalikan kepercayaan rakyat kepada proses politik kita," katanya.