PRN Sarawak: Sebelum Nicholas, ada beberapa nama lain dicadang di DUN Baleh

Syafik Shukri Jalil
Disember 5, 2021 12:38 MYT
Salang (gambar) memaklumkan terdapat beberapa nama dicalonkan untuk menggalas tanggungjawab di DUN Baleh. Astro AWANI
PELAGUS: Sebelum keputusan mencalonkan Nicholas Kudi Jantai bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh diputuskan, beberapa nama lain turut dicadangkan, kata pemangku Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Salang Gandum.
Menurutnya, antara nama yang dicadangkan termasuk isteri mendiang Tan Sri James Jemut Masing, Puan Sri Corrine Masing.
Manakala ada juga khabar angin mencadangkan Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong untuk mengisi kekosongan itu.
“Memang betul dari segi bahagian memang meminta supaya balu mendiang Tan Sri iaitu Puan Sri Corrine dicalonkan. Namun selepas mengadakan rundingan bersama anak dan keluarga, beliau menolak cadangan untuk dicalonkan.
“Beliau mencadangkan bahawa Nicholas Kudi adalah calon yang tepat,” katanya.
Manakala ura-ura untuk mencalonkan Ugak juga ditolak memandangkan kepimpinan tertinggi parti berpendapat seseorang pemimpin tidak boleh menyandang lebih daripada satu jawatan.
“Ada ura-ura untuk mencadangkan Yang Berhormat Datuk Wilson Ugak Kumbong yang merupakan Ahli Parlimen Hulu Rajang. Namun demikian parti berfikiran bahawa kedudukan dalam arena politik ini terhad dan sudah ditetapkan dari dahulu bahawa seseorang tidak memegang lebih daripada satu kerusi.
“Oleh yang demikian ada sedikit kekangan untuk mencadangkan Datuk Wilson Ugak untuk mengisi kekosongan itu,” tambahnya.
Bagaimanapun ujarnya, Ugak bersetuju dengan pencalonan itu dan juga menyatakan sokongan bagi memastikan Nicholas akan memenangi kerusi DUN Baleh.
Pada Jumaat, Nicholas yang juga merupakan Setiausaha Politik di Pejabat Ketua Menteri Sarawak menerima watikah pencalonan untuk kerusi DUN Baleh.
Tambah Salang, walaupun Nicholas bakal berdepan tanggungjawab yang besar menggantikan bapa saudaranya tetapi beliau optimis Nicholas akan mampu menjalankan peranan dengan baik.
Bahkan katanya, Nicholas juga akan mampu beroleh kemenangan yang besar dalam saingan PRN12 kali ini.
Mendiang Masing yang merupakan ADUN Baleh selama lapan penggal meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19 pada 31 Oktober lalu di Pusat Perubatan Pakar Normah, Kuching.
Pada PRN11, mendiang memperoleh majoriti mudah 4,843 menewaskan calon DAP, Agop Linsong yang hanya memperoleh 454 undi.
#PRN Sarawak #Spekulasi calon DUN Baleh #tanggungjawab besar #PRS