KUCHING: Pasukan logistik dan operasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak sedang giat melakukan persiapan bagi melancarkan urusan pemilihan mandat baharu kepimpinan negeri itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tidak lama lagi.

Tinjauan Astro AWANI di pusat penyimpanan utama SPR di sini, mendapati urusan penyusunan bahan-bahan pilihan raya giat dilakukan dengan  dibahagikan mengikut setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada zon 1, zon 2, dan zon 3.

Ia termasuk peralatan mengundi, kain rentang, garis panduan pilihan raya, termasuk notis pematuhan (SOP) COVID-19.

Setiap DUN akan diperuntukkan peralatan keselamatan untuk memastikan SOP COVID-19 semasa pilihan raya dapat dikuatkuasakan dan diamalkan oleh para pengundi dan petugas SPR.

Kit SOP yang disediakan pihak SPR termasuklah pengimbas suhu, topeng muka, cecair nyahkuman, kit ujian pantas antigen dan peralatan perlindungan kendiri (PPE) yang dikehendaki Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bahan-bahan pilihan raya ini akan dihantar menggunakan pengangkutan darat oleh pihak SPR mengikut jadual tertentu dengan kerjasama pihak pejabat daerah masing-masing

Sebanyak 1,946 pusat mengundi telah dikenalpasti di semua 82 DUN dengan jumlah terbanyak di DUN N64 Baleh dengan 68 pusat mengundi.

Undi pos secara dalam talian bagi warganegara Malaysia yang berdaftar sebagai pemilih dan layak mengundi pada PRN DUN Sarawak dibuka sejak 8 hingga 24 November depan.

Permohonan undi pos tersebut adalah untuk pengundi kategori borang 1b warganegara Malaysia di luar negara dan kategori 1c iaitu sembilan agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan sahaja.