AMPANG: Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyedari bahawa politik baharu yang mahu dibawa parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dianggap sebagai skeptikal atau ragu-ragu.

Timbalan Presidennya, Amira Aisya Abd Aziz berkata, parti itu tidak boleh berputus harap kerana ramai yang percaya masa depan Malaysia perlu dicorak oleh orang-orang muda dan agenda politik baharu.

Walaupun MUDA dilihat lantang mengkritik tanpa mengira parti, beliau berkata politik baharu harus disambut baik oleh parti-parti lain tanpa wujud sebarang unsur sabotaj terhadap mana-mana calon-calon.

"Walaupun ada yang skeptikal tetapi ramai juga yang menyambut baik kerana mereka percaya masa depan Malaysia sepatutnya dibawa oleh orang-orang muda dan politik baharu itu sebenarnya satu yang orang impikan.

"Sabotaj (terhadap calon MUDA) dan sebagainya itu tidak sepatutnya berlaku tetapi daripada pihak Muda satu benda yang pasti, yang memang daripada awal MUDA ditubuhkan kita tahu bahawa apa yang betul kita angkat, dan apa yang salah, kita tetap akan kata salah.

"Benda itu tidak akan berubah dan bagaimana Presiden sendiri (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) sebagai contoh walaupun dia daripada Parti Bersatu, tetapi apabila Langkah Sheraton berlaku, dia sanggup diambil tindakan dan dipecat daripada parti yang diasaskan," katanya kepada Astro AWANI, di sini.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu berkata, impian MUDA pada PRN kali ini adalah untuk menunjukkan kepelbagaian parti itu, selain semua calon tidak membawa politik benci-membenci atau menyerang peribadi.

Tegas beliau, 19 calon yang dikemukakan oleh parti itu telah melalui saringan yang begitu ketat dan mampu berkhidmat dengan baik kepada rakyat, jika diberikan mandat dalam PRN ini.

"Orang persoalkan contohnya di negeri Sembilan kita hantar seorang, Terengganu seorang... Ada orang persoalkan, seorang boleh buat apa? Tetapi sebenarnya seorang itu komited dengan apa yang diperjuangkan, terus bersuara dan tidak berhenti memperjuangkan isu rakyat.

"Mereka datang daripada pelbagai latar belakang tetapi ada satu benda yang sama iaitu mereka semua ingin berkhidmat dan bersuara untuk rakyat.

"Bukan saya sahaja (di DUN Puteri Wangsa), kita lihat Syed Saddiq walaupun MUDA itu satu (kerusi) di dalam Dewan Rakyat tetapi MUDA itu yang paling lantang dalam dewan Parlimen.

"Jadi satu tidak bermakna tidak boleh buat perubahan," tambah Amira Aisya.

MUDA meletakkan 19 calon pada PRN kali ini melibatkan negeri Selangor; Negeri Sembilan; Pulau Pinang; serta Terengganu.

Seramai 14 calonnya bertanding di DUN Selangor, diikuti tiga di Pulau Pinang, Negeri Sembilan (satu) dan Terengganu (satu).