SIK: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim bertekad untuk menumpukan aspek pembangunan di kawasan berkenaan yang sekian lama kelihatan mundur.

Ujarnya, beliau bercadang untuk mewujudkan satu kawasan perbandaran di Jeneri yang akan merancakkan ekonomi penduduk setempat.

Muhamad Khizri yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Sik berkata, aspek pembangunan itu termasuk usaha untuk menyegerakan pembangunan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab.

“Saya akan wujudkan perbandaran baharu di kawasan Batu Lima supaya ekonomi boleh berkembang dan rakyat boleh dapat manfaat dan mula untuk merasa pembangunanan ekonomi di Sik yang sekian lama ketinggalan.

“Kita belum ada pembangunan fizikal yang gah di Jeneri sedangkan ini merupakan kawasan DUN di bawah Menteri Besar sendiri. Kalau terbinanya MRSM ini dengan kadar segera, saya percaya ia akan jadi ikon permulaan kepada masyarakat di Jeneri.

Dalam pada itu, beliau berpendapat, BN perlu tawan kerusi berkenaan bagi menyelesaikan kemelut air di kawasan itu yang telah berlarutan lama.

Kedudukan kerajaan negeri yang dilihat tidak sehaluan dengan kerajaan pusat mengakibatkan usaha untuk menangani isu air menjadi terbantut.

“Isu air sukar selesai kerana ini merupakan masalah peruntukan kerana ia disediakan oleh kerajaan pusat, kalau kerajaan negeri selari dengan pusat makanya mudah untuk peruntukan disalurkan walaupun secara berperingkat,” katanya lagi.

Muhamad Khizri bakal bertembung di kerusi berkenaan dalam pertembungan satu lawan satu bersama penyandang kerusi berkenaan yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelang 12 Ogos ini.