ALOR SETAR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyatakan bahawa perkembangan sokongan golongan muda kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November tahun lalu, yang dilihat memihak kepada Perikatan Nasional (PN), tidak boleh dijadikan ukuran sebenar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurut beliau, ia selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim selain peluang yang ada untuk anak muda memilih pihak yang sehaluan dengan kepimpinan di peringkat Pusat khususnya di negeri Jelapang Padi itu.

Tambahnya, dakwaan yang mengaitkan Perdana Menteri turun ke universiti-universiti bagi meraih sokongan golongan berkenaan juga adalah tidak benar sebaliknya ianya bertujuan bagi menerangkan secara jelas dasar serta polisi kerajaan ketika ini.

"Saya ingat bukan makna (sebenar) Perdana Menteri turun (ke univesiti) untuk dapatkan sokongan (orang muda), (sebenarnya) Perdana Menteri (punyai tanggungjawab) lebih daripada itu.

"Dia (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor),  tidak boleh compare antara Perdana Menteri turun ke universiti dengan hendak dapatkan pengaruh, sebab (tugas serta peranan) Perdana Menteri beyond than that.

"Untuk bercakap pasal polisi, bercakap pasal tanggungjawab untuk negara dan bagaimana hendak membina negara, saya ingat kita tak perlu compare macam (yang diperkatakan Menteri Besar Kedah) itu," katanya.

Beliau ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pimpinan Negeri BN dan PH Kedah, di Pejabat UMNO Kedah, Bangunan Tunku, Alor Setar pada Ahad.

Dalam pada itu, Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar memaklumkan bahawa trend sokongan anak muda kepada PN sudah semakin menurun ketika ini.

Malah, bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu mendakwa, golongan berkenaan kini sudah lega kerana mempunyai ruang untuk menolak PN dalam PRN akan datang.

"(Sokongan orang muda kepada PH dan BN) sangat menggalakkan bagi saya, malah saya tengok bila tarikh pembubaran DUN (diumumkan), (kemudian) saya round (buat tinjauan) selepas itu, anak-anak muda rasa lega kerana mereka ada (ruang pada) pilihan raya akan datang untuk menolak PN di Kedah," katanya.

Pada Rabu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mendakwa sokongan daripada golongan muda kini telah memihak kepada gabungan PN.

Situasi berkenaan dakwanya telah memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan kerja hakikinya untuk turun ke universiti-universiti dalam menarik sokongan kumpulan berkenaan.