SHAH ALAM : Tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan peruntukan khas kepada tiga badan sosial di Terengganu telah melanggar dua daripada tiga larangan 3C iaitu No Conditions (tidak bersyarat), No Campaign (tidak berkempen) dan No Candidates (tidak bawa calon).

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berkata, Ahmad Zahid dalam kerajaan Persekutuan sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah secara jelas mengenakan syarat bahawa jumlah peruntukan itu akan dinaikkan sekiranya parti kerajaan menang dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

“Peruntukan yang bukan untuk semua badan yang sejenis bagi seluruh negara, telah melanggar prinsip tidak berkempen, manakala kenyataan mengaitkan jumlah peruntukan kepada kemenangan PRN, terang-terang melanggar prinsip tidak bersyarat.

“Ini berlainan dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Ekonomi Madani yang merangkumi seluruh rakyat Malaysia.

“Tidak boleh ada pengumuman khas yang disasarkan kepada negeri-negeri yang menghadapi PRN untuk menarik sokongan. Maka sebarang pengumuman sebelum ini yang bersyarat, termasuk kenyataan Zahid di Terengganu, mesti dibatalkan serta-merta,” tegas Bersih dalam satu kenyataan.

Ahmad Zahid dalam ucapan semasa program Sentuhan Kasih Desa di Terengganu pada Jumaat malam mengumumkan tambahan peruntukan RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Selain itu, beliau juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran di negeri tersebut.

Ujar Bersih, Perdana Menteri dan Kerajaan Madani perlu ingat bahawa pelanggaran 3C akan menjejaskan kredibiliti kerajaan dan dilihat sebagai satu propaganda kepartian serta bukan idealisme untuk seluruh negara.

“Larangan 3C telah dikemukakan oleh Bersih pada 20 Julai lalu untuk mengawal kerajaan yang tidak bersifat sementara iaitu kerajaan Persekutuan dalam PRN dan kerajaan-kerajaan negeri semasa pilihan raya umum (PRU).

“Larangan 3C adalah untuk menutup lubang bagi kerajaan bukan sementara tanpa melarang mereka daripada melaksanakan amanah-amanah masing-masing.

“Bersih akan sentiasa bersikap adil, seimbang dan berkecuali dalam memantau tingkah laku semua parti politik dan wakil rakyat,” katanya. - Sinar Harian