KOTA KINABALU: Polis Kontinjen Sabah mengenal pasti 10 kawasan panas di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sehubungan itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, pihaknya akan membuat kawalan keselamatan yang lebih ketat bagi memastikan proses pilihan raya berjalan lancar tanpa insiden yang tidak diingini.

10 kawasan panas itu ialah P171 Sepanggar, P172 Kota Kinabalu, P173 Putatan, P175 Papar, P167 Kudat, P184 Libaran, P186 Sandakan, P188 Lahad Datu, P189 Semporna dan P190 Tawau.

"Lebih 7,000 pegawai dan anggota polis Kontinjen Sabah akan bertugas sepanjang PRU15 ini.

"Selain daripada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan mendapat bantuan petugas-petugas daripada pihak RELA, iaitu seramai 4,370 anggota dan 604 anggota dari Sukarelawan PDRM," jelas kenyataan itu.

Sementara itu, sebanyak 86 kawasan dikenal pasti sebagai kawasan yang sukar dilalui menggunakan kenderaan biasa dan memerlukan bantuan perkhidmatan helikopter bagi tujuan penghantaran peti undi

Kawasan tersebut melibatkan 11 kawasan parlimen, iaitu Beluran, Pensiangan, Kudat, Kinabatangan, Sipitang, Tenom, Kota Marudu, Ranau, Penampang, Kota Belud dan Semporna.

Menurut Idris, sehingga kini sebanyak 26 tempat akan dijadikan sebagai pusat penamaan calon.

"Pecahan kekuatan penugasan semasa proses penamaan calon adalah seramai 2,141 pegawai dan anggota.

"PDRM Sabah turut menasihatkan agar semua penyokong mana-mana parti politik yang hadir semasa hari penamaan calon tidak menimbulkan sebarang provokasi, tidak meletakkan kenderaan yang boleh menghalang lalu lintas, tidak menggunakan dron di pusat penamaan calon dan penggunaannya adalah dilarang," tegas kenyataan itu.

Pada masa yang sama, PDRM juga menyeru semua calon, ejen serta penyokong agar sentiasa mematuhi sepenuhnya sekatan yang dinyatakan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.