PUTRAJAYA: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mencatat sejarah apabila merekodkan seramai 945 calon disahkan layak bertanding untuk merebut 222 kerusi Parlimen di seluruh negara, yang teramai dalam sejarah PRU negara.

Berdasarkan data yang dipaparkan di Pusat Media ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), di sini, seramai 441 calon akan bersaing untuk merebut 117 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, Pahang, Perlis dan kerusi N66 BUgaya, Sabah.

Menurut jumlah calon kerusi Parlimen, Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan calon paling ramai iaitu 206 orang, diikuti Barisan Nasional (BN) (178), Perikatan Nasional (PN) (149) dan Pejuang (116).

Parti Warisan Sabah (Warisan) meletakkan 52 calon, Gabungan Parti Sarawak (31), PAS (22), Parti Rakyat Malaysia (16), Gabungan Rakyat Sabah (13), Parti Sarawak Bersatu (10), Putra (9), DAP (8), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (7), Muda (6), Parti Bangsa Malaysia (5) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (3).

[LAPOR LANGSUNG] Hari Penamaan Calon: Gelanggang PRU15 sudah dibuka

Selain itu, Parti Bersatu Rakyat Sabah, Parti Sedar Rakyat Sarawak, Parti Sosialis Malaysia, Parti Perpaduan Rakyat Sabah, Parti Bumi Kenyalang dan Parti Utama Rakyat pula masing-masing mempunyai seorang calon kerusi Parlimen.

Pada PRU15 ini juga jumlah calon Bebas yang bertanding ialah seramai 108 orang, sekali gus menjadikannya jumlah calon Bebas teramai dalam sejarah PRU negara. Pada PRU13 dan PRU14 masing-masing merekodkan 79 dan 24 calon kerusi Parlimen.

Negeri Selangor yang mempunyai 22 kawasan Parlimen merekodkan jumlah calon Parlimen paling ramai iaitu 124 orang, diikuti oleh Sabah (119), Perak (100), Johor (96), Sarawak (92), Kedah (68), Kelantan (63), Pulau Pinang (58), Pahang (55), Kuala Lumpur (52), Negeri Sembilan (35), Terengganu (33), Melaka (25) dan Perlis (13), manakala Putrajaya dan Labuan masing-masing mempunyai enam calon.

Bagi kerusi DUN, Perak mendahului senarai calon tertinggi dengan 220 orang diikuti Pahang (150), Perlis (64) dan tujuh calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah.

Barisan Nasional (BN) mempertandingkan 117 calon bagi kerusi DUN, PN dan PH masing-masing mempertandingkan 116 calon, Pejuang (45), Warisan (18) dan Bebas ( 24).

Pada PRU14, SPR menerima sebanyak 2,333 kertas pencalonan dalam tempoh sejam penamaan calon dengan 687 daripadanya adalah kertas pencalonan bagi 222 kerusi Parlimen dan 1,646 bagi 505 kerusi DUN.

SPR menetapkan hari pengundian PRU15 pada 19 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.

Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2022 yang dikemas kini sehingga 9 Okt akan digunakan untuk PRU15.

Ia mengandungi seramai 21,173,638 pemilih yang terdiri daripada 20,905,366 pengundi biasa, 146,737 tentera serta pasangan, 118,794 polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

-- BERNAMA