KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan ada menerima panggilan telefon daripada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Ketua Menteri Sabah itu berkata, antara yang dibincang dan dimuktamadkan adalah bersama-sama menyokong kerajaan yang akan memberi kestabilan kepada Sabah dan Sarawak.

“Saya telah berbincang dengan Premier Sarawak untuk sepakat menyokong kerajaan yang akan dibentuk di peringkat Persekutuan yang boleh membawa kestabilan politik bukan sahaja kepada negara tetapi juga di Sabah.

“Kami mahu kerajaan yang stabil dan sudah tentu (untuk) kerajaan negeri,” katanya dalam sidang media di Kediaman Rasmi Ketua Menteri, di Kota Kinabalu pada awal pagi Ahad.

Begitu pun Hajiji berkata, GRS dan GPS masih belum memutuskan untuk menyokong mana-mana parti untuk menjalin kerjasama.

“Itu kita akan bincangkan. Kita lebih kepada kerajaan yang dibentuk yang memberi kestabilan kepada Sabah.

“Kita tidak boleh nyatakan di sini kerana kita belum dapat putus secara rasmi. Jadi selepas itu kita buat satu lagi kenyataan,” kata Ketua Menteri Sabah itu lagi.

Ditanya bagaimana indikasi kestabilan diambil kira, Hajiji berkata; “Sudah tentu apa yang kita mahu ialah parti di peringkat Persekutuan memberikan kebaikan kepada kita, Sabah dan Sarawak.”

Setakat ini, GRS dan Barisan Nasional (BN) memenangi 13 kerusi daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah, sementara satu lagi kerusi atas tiket Perikatan Nasional (PN).