PRU15: Ahmad Zahid nafi spekulasi tidak akan bertanding di Bagan Datuk

Nur Fazlizai Ali
Oktober 21, 2022 11:32 MYT
Ahmad Zahid menjelaskan beliau yang juga Presiden UMNO juga tidak terfikir untuk melakukan sedemikian.- Gambar fail
HULU TERENGGANU: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan spekulasi yang beliau tidak akan bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Ahmad Zahid menjelaskan beliau yang juga Presiden UMNO juga tidak terfikir untuk melakukan sedemikian.
"Saya tidak tahu dimana punca dan sumber yang menjurus begitu. Saya fikir eloklah kita tanya pada orang itu atau kumpulan itu dan saya belum terniat pun untuk melakukan yang sedemikian," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian selepas merasmikan Program Solidariti Dan Kemakmuran di Akademi Binaan Malaysia di Hulu Terengganu pada Jumaat.
Ketika ditanya sama ada beliau kecewa dengan spekulasi berkenaan Ahmad Zahid hanya menjawab dengan perumpamaan.
"Kalau takut dilambung ombak janganlah pernah berumah di tepi pantai," jawabnya ringkas.
BACA: PRU15: Laporan Ahmad Zahid tidak bertanding adalah tidak benar
BACA: PRU15: Tarikh mengundi ditetapkan 19 November
Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15 DI SINI!
Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata BN akan memuktamadkan senarai akhir calon yang akan bertanding pada PRU15 ini, antara tiga hingga lima hari sebelum hari penamaan calon 5 Nov ini.
Pada Jumaat, sebuah akhbar tempatan melaporkan kononnya Ahmad Zahid tidak akan bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk yang disandangnya sejak empat penggal lalu dalam PRU15.
Akhbar itu menyatakan tempat beliau akan diganti oleh sama ada anaknya, Nurul Hidayah atau pun orang kanan beliau sendiri.
Setiausaha Kerja UMNO Datuk Mohd Sumali Reduan ketika dihubungi menafikan laporan itu dan menganggap ia hanya sekadar propaganda pihak tertentu untuk menjatuhkan kredibiliti Ahmad Zahid.
#Malaysia Memilih #PRU15 #Zahid Hamidi #Parlimen Bagan Datuk