KUANTAN: Amanah Pahang hari ini mengumumkan akan meletakkan calon di empat kerusi Parlimen dan 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sekali gus menyaksikan pertambahan kerusi bagi parti itu berbanding PRU14.

Pengerusi Amanah Pahang Zulkifli Mohamed berkata pemilihan calon terdiri daripada gandingan muka baharu dan lama selain daripada pelbagai latar belakang antaranya golongan profesional dan ahli perniagaan selain calon wanita bagi dua kerusi DUN iaitu Guai dan Tanjung Lumpur.

Beliau berkata calon termuda ialah Pengarah Komunikasi dan Media Baharu Negeri Ahmed Wafiuddin Shamsuri berusia 27 tahun yang akan bertanding di DUN Pelangai.

"Pada PRU kali ini berlaku pertambahan kerusi yang ditandingi iaitu 16 kerusi DUN berbanding 11 sebelum ini manakala bagi kerusi Parlimen, empat kerusi ditandingi berbanding satu pada PRU14," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bagi calon kerusi Parlimen, mereka terdiri daripada Pengarah Pilihan Raya Negeri Ahmad Azam Mohamad Salleh yang akan bertanding di Paya Besar, Ketua Kawasan Maran Ahmad Shuhor Awang (Maran); Ketua Kawasan Tangga Batu Juhari Osman (Kuala Krau) dan Ketua Pemuda Nasional Mohd Hasbie Muda (Temerloh).

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Amanah Pahang Mohd Fadli Mohd Ramly berkata Amanah akan mengumumkan manifesto khusus untuk negeri Pahang dalam masa terdekat.

Pada PRU14, BN menang 25 daripada 42 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh sembilan dan PAS (lapan).

Bagi kerusi Parlimen pula, daripada 14 kerusi Parlimen, BN menang sembilan dan bakinya PH.

Bagaimanapun, PH hilang satu kerusi apabila Ahli Parlimen Indera Mahkota Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengumumkan keluar PKR dan menyertai Bersatu pada tahun 2020.

Berikut merupakan senarai calon Amanah bagi kerusi DUN Pahang:


N.03 Padang Tengku : Jawatankuasa Pimpinan Negeri Ruzi @ Nata Yusuff

N.08 Dong : Jawatankuasa Pimpinan Pemuda Kawasan Raub Mohd Abd Jawaad Abd Ghafar @

Ramzin

N.09 Tahan : Jawatankuasa Pimpinan Kawasan Jerantut Mohd Abd Talib Mohd Tahar

N.11 Pulau Tawar : Jawatankuasa Pimpinan Negeri Norani Muhd @ Mohd Arshad

N.12 Beserah : Pengerusi Negeri Zulkifli Mohamed

N.15 Tanjung Lumpur : Jawatankuasa Pimpinan Negeri Sabrina Md Yusuff

N.18 Lepar : Ketua Pemuda Negeri Muhammad Ibrohim Mazalan

N.21 Peramu Jaya : Ahli parti Tugimon Abdul Hamid

N.22 Bebar : Ketua Kawasan Pekan Ibrahim Sulaiman

N.26 Chenor : Pengarah Pembangunan Sumber Manusia Negeri Nor Hisham Mohd Suki

N.28 Kerdau : Jawatankuasa Pimpinan Kawasan Kuala Krau Ahmad Ariff Md Daud

N.29 Jengka : Jawatankuasa Pimpinan Negeri Jamaluddin Abd Rahim

N.32 Kuala Semantan : Bendahari Negeri Azizul Shah Mohd Noor

N.36 Pelangai : Pengarah Komunikasi dan Media Baharu Negeri Ahmed Wafiuddin Shamsuri

N.37 Guai : Ketua Wanita Negeri Noraini Abdul Ghani

N.42 Tioman : Timbalan Pengerusi Negeri Mohd Fadzli Mohd Ramly



-- BERNAMA