BAYAN BARU: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar diberi tanggungjawab mengetuai jentera parti bagi Pulau Pinang, Kedah dah Perlis pada Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelantikan anaknya itu dipersetujui sewaktu pertemuan dengan ketua-ketua cabang negeri terbabit di Bayan Baru, hari ini.

Anwar berkata, langkah itu juga susulan keputusan PKR sebelum ini yang menetapkan tugas mengetuai jentera PRU di Semenanjung diberi kepada timbalan dan naib presiden parti.

Bagaimanapun untuk Sabah dan Sarawak, ia akan diputuskan sendiri oleh ketua-ketua cabang di negeri berkenaan.

"Dalam menentukan  pimpinan untuk memimpin jentera pilihan raya, kita sudah tetapkan timbalan presiden dan naib presiden (ketuai) semua negeri. Ia sudah  diputuskan melainkan Sabah dan Sarawak cabang sendiri yang  akan putuskan.

"Jadi untuk Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, Nurul Izzah akan mengetuai jentera negeri untuk menyediakan satu gerakan pilihanraya," katanya.

Anwar berkata demikian  pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan ketua cabang PKR Pulau Pinang, Kedah dan Perlis di Wisma Keadilan Pulau Pinang di Bayan Baru, pada Khamis.

Terdahulu, di Perak, Anwar berkata, PKR membuat perubahan apabila melantik timbalan presiden dan naib presiden sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN).

Ia berbeza berbanding sebelum ini apabila Ketua-Ketua Cabang memilih seorang dalam kalangan mereka sebagai Pengerusi MPN.

Jelasnya, perubahan itu dibuat bagi membolehkan timbalan atau naib presiden yang dilantik memimpin jentera parti bagi menghadapi PRU15.

Sementara itu mengulas mengenai pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU, katanya semua pimpinan negeri telah diminta menyegerakan rundingan dan membuat keputusan selepas persidangan Majlis PH pada minggu depan.

"Kita bincang tentang kerusi yang dipegang oleh parti dan pimpinan negeri diminta supaya menyegerakan rundingan terutama selepas Majlis Pakatan Harapan bersidang minggu depan," katanya.