MUAR: Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan jumlah keseluruhan aset bersih yang dimilikinya adalah sebanyak RM1.9 juta untuk tempoh setakat 30 September.

Ujar Syed Saddiq, pengisytiharaan aset itu adalah penting bagi membuktikan ketelusan selain pihaknya turut menggesa beberapa ahli dari MUDA untuk membuat perkara sama.

Selain itu, sebahagian besar aset miliknya adalah melibatkan nilai pelaburan dalam simpanan tetap, unit amanah, dan dana bersama berjumlah hampir RM1.25 juta.

Beliau memaklumkan perkara itu ketika menerusi Sidang Media Khas Deklarasi Aset Syed Saddiq yang diadakan di di pejabat Muda Sungai Balang Muar pada malam ini.

Syed Saddiq ketika memaklumkan senarai aset yang dimiliki itu turut menyenaraikan dua ekor kucing peliharaannya meskipun ia tidak mempunyai nilai.

“Semasa kami berkhidmat dalam Kabinet, kami diminta mengisytiharkan sebarang hadiah yang nilainya melebihi RM500.

"Saya mendapat kucing saya pada 2018, jadi saya terpaksa mengisytiharkannya serta ia adalah hadiah daripada abang dan rakan saya," katanya.

Mengulas lanjut, perkara itu juga sebelum ini turut dimaklumkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika menjadi sebahagian daripada pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Jelas calon MUDA bagi Parlimen Muar itu lagi, kebanyakan aset itu diperoleh sebelum dan selepas menyertai arena politik serta sepanjang menjadi Menteri Belia dan Sukan.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut memaklumkan memiliki sebuah motosikal jenis Yamaha NVX bernilai RM8,500 selain membiayai kenderaan milik abangnya jenis Honda City sebanyak RM757 sebulan. 

Beliau juga turut memiliki basikal terpakai jenis jenis Pinarello berharga RM8,000.

Antara aset lain yang turut diumumkan termasuklah sebuah unit kondominium di Kuala Lumpur bernilai RM880,000 yang masih dalam pembinaan serta memiliki pegangan 50 peratus rumah keluarga di Elmina, Shah Alam, Selangor.

“Saya juga berharap bekas-bekas menteri turut isytihar aset kerana ini penting kerana rakyat nak lihat jumlah gaji tertentu sebelum masuk politik, awal masuk politik dan selepas menjadi menteri lima tahun, ujarnya lagi.