KUALA LUMPUR: Antara komitmen dalam manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) menuju ke Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah terhadap golongan belia, dengan mengutamakan isu relevan berkaitan seperti pendidikan, peluang pekerjaan, ekonomi, inflasi dan perumahan.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Jeniri Amir berkata, ia seiring dengan perkembangan pertambahan pengundi muda, apatah lagi kebanyakan mereka menetap di luar Sarawak yang membuatkan golongan ini sangat terdedah dengan perkembangan politik nasional.

"Mereka terdedah dengan isu politik nasional tetapi mereka tidak abai isu tempatan seperti pembangunan infrastruktur, jalan raya, elektrik dan paling utama, capaian internet.

"Melalui pemerhatian, GPS telah berusaha sedaya upaya dalam hal ini, sebagai contoh membina menara komunikasi, kerana sedar golongan muda amat perlukan internet terutama mereka yang terbabit dalam ekonomi digital.

"Pendedahan meluas yang diperoleh mereka berkenaan politik peringkat kebangsaan seperti isu tadbir urus, rasuah dan pembaziran, dilihat turut diberi penekanan dalam teras GPS, antara yang disebut adalah tadbir urus baik dengan integriti tinggi, supaya Sarawak reputasi tidak tercemar dan mereka mampu capai semua inisiatif dalam manifesto," katanya ketika muncul dalam program Malaysia Memilih, pada Isnin.

Jeniri juga berpendapat, jika berlakunya persaingan sengit antara blok Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, GPS dilihat cenderung untuk memilih gabungan seperti yang wujud sebelum Parlimen dibubarkan, baru-baru ini.

"Kalau lihat pada ucapan Pengerusinya (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) semalam, jelas GPS tidak menyokong PH selagi DAP ada bersama mereka.

"Kata-kata (Abang Johari) bahawa rakyat Sarawak terluka dengan pentadbiran 22 bulan Pakatan Harapan, ia menggambarkan apa yang dialami rakyat Sarawak.

"Jika timbul persaingan sengit blok PH dan BN, saya fikir GPS lebih selesa dengan formula sebelum Parlimen dibubarkan, iaitu (bersama gabungan) BN dan PN, berdasarkan kajian GPS sebenarnya cenderung untuk jalin kerjasama dengan dua blok ini," ujarnya.

GSP pada Ahad melancarkan manifesto PRU15 dengan menggariskan lima tonggak utama yang memberi tumpuan kepada hala tuju “Sarawak First”.

Dalam manifesto itu, GPS berikrar untuk memastikan kestabilan dan kekuatan politik negeri dengan mempertahankan hak Sarawak selaras dengan peruntukan Perjanjian Malaysia 1963, laporan Jawatankuasa antara kerajaan, perlembagaan negeri dan persekutuan.