GOPENG: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan bertanding semua kerusi di Parlimen Gopeng pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi Bersatu Gopeng, Ahmad Ishak berkata, selain Parlimen Gopeng, tiga lagi kerusi ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat, Simpang Pulai dan Teja.

Menurutnya, semua nama calon telah diserahkan dan pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat oleh pimpinan tertinggi parti dalam masa terdekat.

"Kita akan bertanding di semua kerusi di Parlimen Gopeng ini malah di DUN Simpang Pulai kita akan letakkan calon kaum India yang merupakan ahli bersekutu.

“Mesej kita adalah untuk menunjukkan bahawa kita berbesar hati untuk meletakkan calon dalam kalangan masyarakat India.

"Di Gopeng ini kita ada ramai ahli bersekutu, jadi kita menghargai peranan mereka dalam menggerakkan jentera dan kita akan bergerak secara berpasukan bersama Pas untuk memenangkan calon PN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Parlimen Gopeng di Dewan Bandaran Gopeng di sini, malam tadi.

Pelancaran disempurnakan Timbalan Pengerusi PN Perak yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria.

Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Gopeng, Abu Bakar Hussain ketika berucap turut mengesahkan bahawa Bersatu akan bertanding semua kerusi di Parlimen Gopeng.

Menurutnya, Pas Kawasan Gopeng akan membantu memastikan kemenangan PN di kerusi Parlimen itu dan tiga kerusi DUN di dalamnya pada PRU15 nanti.

"Saya berjanji bahawa Pas akan memberikan sokong yang padu. Walaupun Pas tak bertanding, tapi insya Allah semangat berjuang untuk menentang PH dan kalahkan UMNO tetap berkobar-kobar,” ujarnya.

Sementara itu, Razman yang ditemui selepas majlis itu menjelaskan Pas tidak meletakkan calon di kawasan itu bukanlah suatu isu kerana mereka bertanding atas tiket PN.

Pada beberapa siri PRU yang lalu, kerusi DUN Sungai Rapat ditandingi oleh Pas malah ketika PRU13 mereka memenangi kerusi berkenaan menerusi Radzi Zainon yang menewaskan calon BN dan bebas dengan majoriti 2,638 undi.