KUALA LUMPUR: Biarpun tidak lagi bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz tetap memikul tanggungjawab untuk memastikan Barisan Nasional (BN) menang di semua kerusi Parlimen dan Dewan Udangan Negeri (DUN) di Padang Rengas.

Mohamed Nazri menjelaskan, sebagai Pengerusi BN Padang Rengas, adalah menjadi tanggungjawab beliau memastikan kerusi Parlimen Padang Rengas, DUN Lubok Merbau dan Chenderoh tidak jatuh ke tangan parti lawan.

Beliau menjelaskan sekurang-kurangnya dua muka baharu akan dinamakan sebagai calon mewakili BN di Padang Rengas pada PRU15 nanti.

"Ada tanggungjawab terakhir sekali iaitu nak memenangkan ketiga-tiga kerusi di Padang Rengas ini untuk Barisan Nasional.

"Sudah tentu sekurang-kurangnya dua calonnya adalah muka baharu. Jadi selagi ini tidak selesai, saya masih lagi rasa ada tanggungjawab sebab saya masih lagi ketua bahagian dan ketua bahagian UMNO ini selalunya dia Pengerusi Barisan Nasional.

"Selaku pengerusi Barisan Nasional saya kena kerja sampai habis tiga kerusi ini dapat kepada BN seperti PRU14," katanya kepada Astro AWANI.

Mohamed Nazri sebelum ini mengulangi pendiriannya untuk tidak lagi bertanding pada PRU15 bagi memberi laluan kepada muka baharu menggantikan tempat beliau.

Ketua Pemuda UMNO Perak, Datuk Datuk Mohd Ariff Abd Majid disebut-sebut antara calon yang dipertimbangkan untuk bertanding di kerusi parlimen Padang Rengas.

Sementara itu, Mohamed Nazri menjelaskan beliau tidak sedikitpun berasa kesal apabila mengumumkan tidak akan bertanding pada PRU15.

"Sebenarnya saya tidak ada rasa kesal, tidak ada rasa rugi, saya rasa sangat lega, rasa hilang beban yang selama ini ada di bahu.

"Mungkin sebab selama hari ini saya menganggap jawatan ini sebagai satu tanggungjawab yang besar, bukan satu perkara untuk kita bermegah-megah atau untuk berbangga-bangga.

"Ia satu tanggungjawab besar, jadi bila saya umum tidak mahu bertanding, saya rasa lega kerana tanggungjawab itu sudah tidak ada pada saya," katanya lagi.

Mohamed Nazri memulakan karier politik pada usia 24 tahun apabila dilantik sebagai exco pemuda UMNO di bawah kepimpinan ketua ketika itu, Suhaimi Kamaruddin.

Beliau menjadi ahli parlimen sejak 1995 di kerusi parlimen Chenderoh sebelum dikenali sebagai parlimen Padang Rengas disebebkan persempadanan semula sebelum pilihan raya umum pada 2004.

Mohamed Nazri juga pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 1991 hingga 1995.