PRU15: BN boleh menang sebahagian besar kerusi di Johor - Ismail Sabri

Hilmi Malik
November 9, 2022 10:01 MYT
Menurut Ismail Sabri, Johor mempunyai kelebihan kerana kerajaan negeri masih ada dan di bawah kerajaan BN. - Fail/BERNAMA
AYER HITAM: Barisan Nasional (BN) Johor diyakini mampu memenangi sebahagian besar kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata setakat ini pihaknya telah menerima maklum balas yang positif berhubung peluang parti itu di negeri berkenaan.
"Johor ini ada kelebihan kerana kerajaan negeri masih ada dan di bawah kerajaan BN.
"Jadi dari segi sentimennya nampak baik dan hari ini pun di Ayer Hitam nampak jelas semangat dan sokongan terhadap BN," katanya selepas berucap di Majlis Ramah Mesra Warga Parlimen Ayer Hitam di Kompleks Balai Orang Ramai Taman Suria pada Rabu.
Dalam pada itu, calon BN Parlimen Bera itu juga yakin bahawa calon BN di Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong akan memperolehi kemenangan.
[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Hanya tinggal janji Ismail Sabri sebagai PM - Dr Mahathir
SEMAK CALON PRU15 DI SINI!
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan menyasarkan kemenangan 20 kerusi Parlimen di Johor sebagai usaha untuk membentuk kerajaan yang dominan.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu, BN juga memperoleh kemenangan besar apabila berjaya memenangi 40 kerusi daripada 56 kerusi parlimen yang dipertandingkan.
#PRU15 #ismail sabri yaakob #BN Johor #Parlimen Ayer Hitam